ARTIKEL

Kongsi peranan urus kebajikan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kerajaan Sarawak menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat berkongsi peranan dan tanggungjawabnya dengan Kerajaan Persekutuan dalam menguruskan kebajikan rakyat di negeri ini. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, ia kerana perkara itu telah diletakkan dalam senarai bersama di bawah Jadual 9 menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Di bawah senarai bersama itu, disebut bahawa kuasa telah diberi kepada negeri untuk melaksanakan semua fungsi dan program yang dibiayai Kerajaan Persekutuan yang diperuntukkan untuk Jabatan Kebajikan Masyarakat. “Ini memberi maksud bahawa pada masa ini, JKM adalah senarai bersama di bawah Kerajaan Persekutuan dan negeri dan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai penurunan kuasa JKM kepada Kerajaan Sarawak selepas Majlis Simbolik Pembungkusan Sumbangsih Raya di Wisma Wanita, Jalan Sultan Tengah, semalam.

Jelas Fatimah, perbincangan untuk penurunan kuasa dalam kebajikan telah pun selesai kerana ia hanya melibatkan dari segi kewangan. Bagaimanapun, dari segi pentadbiran, beliau berpendapat meminta kuasa sedemikian memerlukan perbincangan yang meluas kerana ia melibatkan undang- undang dan isu teknikal perundangan. “Sebelum ini yang dibincangkan adalah dari segi kewangan. Apabila kita bercakap mengenai penurunan kuasa, kita perlu melihat semua aspek.

“Dari aspek perundangan, dari aspek kewangan dan juga dari aspek pentadbiran,” katanya. Beliau berpendapat, peranan dan tanggungjawab yang dikongsi ini antara Kerajaan Sarawak dengan Kerajaan Persekutuan amat baik terutamanya dari segi mengurus keperluan dan keadaan dalam komuniti kita. “Ia juga memberi ruang kepada kita bagaimana untuk menyelesaikan isu dengan mengenali lebih lanjut mengenai situasi dalam komuniti itu. “Jadi penyelesaiannya lebih tepat apabila kita sudah tahu bagaimana perkara itu perlu dilakukan di tempat tertentu,” katanya lagi.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU