Kongsikan kasih sayang dengan anak istimewa

KUCHING: Seramai 100 orang kanak-kanak dari Sekolah Perkata terlibat dalam program Love in A Box anjuran SEDC dan anak-anak syarikatnya semalam.

Menurut Pengerusi SEDC Tan Sri Abdul Aziz Husain, program tahunan itu merupakan sebahagian daripada inisiatif CSR dan didedikasikan khas untuk kanakkanak sekolah yang mengalami autisme spectrum disorder (ASD), cerebral palsy, masalah tumbesaran, sindrom down dan kecacatan intelektual.

Jelasnya, penerima yang menerima manfaat daripada program Love In A Box tahunan itu merupaka kanak-kanak yang memerlukan sokongan dan perhatian.

“Terima kasih kepada Persatuan Bagi Kanak-Kanak Terencat Akal Sarawak (Perkata) kerana bekerjasama dengan SEDC dan anakanak syarikatnya menganjurkan acara yang melibatkan 100 kanak-kanak dari Sekolah Perkata ini.

“Program juga didedikasikan kepada ibu bapa anak-anak istimewa. Kami berharap penyerahan barang dan angpau ini memberi kebahagiaan kepada semua yang terlibat,” katanya.

Program Love In A Box mula diperkenalkan pada 2000 dan dianjurkan setiap tahun sejak tahun 2004. “Tahun ini merupakan edisi ke-16 program dan setakat ini kami membantu lebih 1,600 orang yang kurang bernasib baik terutama generasi muda.

“Respons terhadap program ini amat menggalakkan dan ia sebenarnya memberi motivasi kepada kami untuk melaksanakan acara melibatkan masyarakat ini setiap tahun,” katanya. Abdul Aziz menambah, inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada sumbangan kecil mereka berkongsi kegembiraan dalam kalangan anggota masyarakat yang kurang bernasib baik.

Antara aktviti lain pernah dianjur ialah Majlis Belaian Kasih, Majlis Berbuka Puasa dengan anak-anak yatim, Majlis Ramah Tamah Aidilfitri dengan pelajar sekolah rendah di sekitar Kuching dan aktiviti gotong-royong.

“Walaupun kami menganjurkan acara CSR pada skala sederhana, perkara yang membuat kami berasa diberkati. “Ia memberi sinar kebahagiaan dalam kalangan penerima yang terlibat.

“Oleh itu, kita akan meneruskan inisiatif seperti ini kerana ia turut memberikan kita kepuasan sebagai pihak yang berkongsi kasih sayang dengan mereka,” jelasnya.

Suara Sarawak