Konsep 4R teknik belajar berkesan

SETIAP kali memberikan ceramah motivasi, saya dapat melihat rungutan pelajar dan mereka sering kali bertanya kepada saya.

“Cikgu bagaimanakah cara belajar dengan betul? Saya susah belajar di rumah sebab adik bising”.

Itu antara soalan yang saya terima. Oleh itu saya membuat kesimpulan bahawa mereka sangat berminat untuk belajar, namun tidak tahu bagaimana untuk belajar dengan betul.

Baiklah, cikgu akan menulis tentang kaedah yang betul untuk belajar dengan berkesan terutamanya jika belajar di rumah dan bersendirian.

Kaedah ini cikgu dapat daripada pembacaan dan amalan cikgu sendiri.

Alhamdulillah ia boleh memberikan perubahan terhadap fokus dan minat belajar jika diamalkan.

Secara asasnya ada empat perkara yang perlu diambil berat jika kita ingin belajar dengan berkesan di rumah.

• Persediaan diri

• Persediaan persekitaran

• Teknik belajar •

Merangsang minda semasa belajar

Persediaan diri

Sebelum kita mula belajar di rumah, kita mesti bersedia dari segi mental dan rohani.

Minda kita mesti bersih. Tiada gangguan perkara yang boleh mengalih tumpuan kita untuk belajar.

Ia menuntut pengorbanan. Pengorbanan pertama ialah tutup telefon bimbit supaya tidak terganggu dengan notifikasi media sosial.

Pastikan mempunyai masa untuk tidur dan rehat.

Tidur yang mencukupi (6-7 jam) setiap hari boleh memberikan kesan yang sangat besar kepada prestasi pembelajaran anda.

Jika anda mempunyai banyak tanggungjawab dan tugasan semasa di sekolah, kemungkinan mempunyai banyak benda untuk difikirkan.

Ini boleh mengganggu tumpuan semasa belajar.

Niatkan dalam hati bahawa kita belajar kerana Allah. Kita nak aktiviti belajar kita adalah ikhlas supaya ia menjadi ibadah dan akan dipermudahkan Allah untuk memahami isi pembelajaran.

Persediaan persekitaran

Sebelum mula belajar dan mengulang kaji, pastikan suasana tempat belajar kondusif dan selesa.

Tingkap dibuka untuk pengudaraan yang baik.

Bilik yang kemas dan bersih. Meja dan kerusi yang sesuai serta buku-buku yang ingin dipelajari tersedia mengikut jadual.

Pastikan adik-adik tidak membuat bising dan hindarkan gangguan sampingan seperti bunyi radio dan televisyen yang terlalu kuat.

Teknik belajar yang betul

Terdapat beberapa teknik belajar yang berkesan.

Antara teknik yang cikgu sendiri amalkan semasa menjadi pelajar ialah teknik 4R.

Teknik ini agak popular sekitar tahun 80-an dan 90-an dan cikgu mengamalkannya ketika belajar di tingkatan 6 hinggalah ke Institut Perguruan.

Teknik 4R ialah ReCopy (salin semula), pelajar boleh menyalin semula teks di dalam buku rujukan atau buku teks.

Reduce (Nota ringkas), meringkaskan teks yang disalin dengan menggunakan kata kunci yang tertentu supaya teks tadi menjadi nota ringkas yang lengkap.

Recite (baca nota dengan kuat dan hafal), bacaan kuat sekadar dengar di telinga untuk melatih keserasian bacaan dengan nota yang ditulis.

Amalan ini boleh meningkatkan daya ingatan terhadap nota yang dibaca.

ReCheck (semak nota), semak semula nota yang ditulis untuk mengenal pasti mana-mana bahagian yang boleh ditambah bagi memantap dan mengemas kini nota sedia ada dengan maklumat baharu.

Teknik 4R ini sangat sesuai untuk menelaah subjek-subjek berasaskan fakta seperti Sejarah, Geografi, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris serta Sains, manakala untuk Matematik, teknik latih tubi sangat berkesan.

Merangsang minda belajar

Penggunaan muzik instrumental yang lembut dan bau-bauan wangi boleh merangsang minda untuk belajar dengan berkesan.

Kita boleh mendengar lagu alunan lembut semasa belajar kerana ia boleh menenangkan jiwa dan memberi fokus untuk kita belajar.

Terkini kita oleh muat turun bunyi ombak yang lembut di pantai serta bunyi air hujan gerimis di Internet untuk kita pasang semasa belajar.

Ia akan merangsang minda agar kita berasa tenang dan damai serta boleh menerima pembacaan semasa kita mengulang kaji. Demikianlah sedikit teknik belajar berkesan yang boleh cikgu kongsikan untuk pelajar semua agar dapat diaplikasikan semasa belajar di rumah sebagai persediaan peperiksaan. Semoga anak-anak semua bersemangat untuk belajar dan berjaya dalam pelajaran… insya-Allah.

Cikgu Emmet atau Ahmad Faizal Osman merupakan guru kanan di SK Pulau Seduku Lingga, Sri Aman

Suara Sarawak