KUCHING: Empat kumpulan dalam aplikasi WhatsApp yang ditubuhkan Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi menerima maklum balas positif daripada semua kementerian kerana mendapat respons yang cepat mengenai isu-isu diutarakan yang tidak memerlukan proses surat menyurat.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi berkata, empat kumpulan dalam aplikasi WhatsApp itu menyentuh mengenai perkara bekalan air, bekalan elektrik, bekalan agihan gas dan telekomunikasi di Sarawak.
“Semua Ahli Undangan Negeri (ADUN), ahli parlimen dan menteri-menteri di negeri ini dimasukkan dalam kumpulan tersebut.
“Saya menerima maklum balas daripada mereka cukup gembira dengan konsep kumpulan terbabit kerana banyak perkara yang tidak memerlukan surat menyurat mendapat respons yang cepat daripada kementerian kita dan agensi-agensi berkaitan,” Katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Penghargaan dan Sambutan Pra-Gawai Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi di Hotel Grand Margherita, semalam.
Beliau bangga dan berterima kasih kepada pegawai-pegawai yang terlibat dalam memberikan respons yang cepat mengenai isu-isu harian walaupun ia menimbulkan rasa gemuruh dalam kalangan mereka.
“Walau bagaimanapun, jangan terlalu risau kerana kita membentangkan maklumat dan fakta yang sebenar.
“Oleh sebab itu, kerjasama penuh daripada semua kementerian dan pelbagai agensi amat diperlukan supaya menampakkan hasil yang positif dalam menangani isuisu yang berlaku,” ujarnya.
Tegasnya, kerjasama yang erat dapat dikendalikan dengan mudah dalam menangani isuisu harian umpama berat sama dipikul ringan sama dijinjing.
Turut hadir dalam majlis tersebut Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Liwan Lagang dan Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi.