ARTIKEL

Maestro muzik tersohor, Datuk M. Nasir ketika sesi fotografi selepas sidang media mengenai Konsert Dato' M.N45ir Cipta, semalam. | Kredit: BERNAMA

Konsert Dato’ M.N45ir Cipta bakal gegar Axiana Arena, 10 Ogos

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Bagi mengenang jasanya dalam bidang penciptaan lagu, maestro muzik tersohor, Datuk M. Nasir, akan tampil dengan Konsert Dato’ M.N45ir Cipta yang dijadualkan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, pada 10 Ogos akan datang.

Konsert bertemakan ‘Pendekar dan Tradisional’ itu bakal menyaksikan penghibur berusia 66 tahun itu bukan sahaja mempersembahkan lagu-lagu kesukaan ramai, tetapi juga lagu yang pernah dicipta untuk penyanyi lain dalam pelbagai genre sempena meraikan 45 tahun pembabitannya dalam industri seni.

“Saya akan menyanyikan lebih 40 lagu, termasuk lagu yang saya ciptakan untuk penyanyi lain, yang mungkin orang tidak tahu itu adalah lagu yang saya tulis.

“Antaranya lagu ‘Padang Lalang’ (Hattan), ‘Rintik Hujan di Kelopak Mawar’ (Dayangku Intan), ‘Kabut Serangkai Mawar’ (Zaiton Sameon), dan mungkin kalau ada (peminat) nak minta lagu macam-macam, saya selagi boleh akan melayani permintaan anda dengan cara saya sendiri,” katanya pada sidang media konsert tersebut di sini, semalam.

Tidak ketinggalan, konsert anjuran Icon Entertainment itu juga akan menampilkan segmen khas sebagai tanda sokongan dan solidariti seniman ini kepada rakyat Palestin yang masih menanggung penderitaan akibat kekejaman rejim zionis di Gaza.
 
“Konsert adalah konsert, kalau saya dapat menghiburkan orang (peminat) dan mereka pun pulang dengan ‘enjoy’, jiwa terisi dan mungkin boleh belajar sesuatu daripada lagu-lagu saya, itu sudah buat saya gembira,” katanya sambil menambah, tiada istilah bersara dalam kamus hidupnya meskipun sudah lebih empat dekad bergelar anak seni.

Malah, anak kelahiran Singapura ini dengan nama sebenarnya Mohamad Nasir Mohamed, mengaku bahawa bidang seni memberinya kepuasan tersendiri dan akan terus berkarya selagi termampu.

“Saya suka bidang ni (mencipta lagu), kita buat lagu daripada tiada apa-apa, kemudian ada ‘bentuk’ dan orang pun suka, ia nikmat yang orang lain tak dapat.

“Jadi, selagi saya dapat rasa nikmat itu, saya susah nak berhenti.

Jadi sementara boleh buat, saya akan buat (berkarya) kerana ia adalah sebahagian daripada pekerjaan, dan jika saya bersara, saya rasa macam susah nak hidup. Risau juga,” katanya.
 
M. Nasir, yang juga Pencipta Dengan Pendapatan Tertinggi pada Anugerah Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Bhd (MACP) 2023, bagaimanapun mengaku perlu menyesuaikan diri seiring dengan peredaran zaman.

“Jadi sekarang, kalau masuk pertandingan, saya sudah jadi orang yang paling tua dalam kalangan peserta, sebab yang bertanding, budak-budak lagi.

Tapi, muzik yang saya buat itu, muzik orang muda. Jadi, saya perlu cari jalan sesuaikan diri,” katanya.

Begitupun, M. Nasir menyifatkan segala cabaran yang perlu dihadapi sepanjang 45 tahun dalam dunia seni sebagai satu perkara yang menyeronokkan.

“Hidup ini seperti naik ‘roller coaster’, walaupun ia bergelombang, 45 tahun ini sangat indah.

“Saya bersyukur kerana sentiasa disokong oleh mereka yang selalu ada di sisi,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Icon Entertainment, Iman Tang, berkata Konsert Dato’ M.N45ir Cipta melambangkan keseluruhan seorang figura seni bernama M. Nasir sepanjang 45 tahun pembabitannya dalam dunia seni.

“Pentas inilah yang akan menyajikan pelbagai ciptaan dan kreativitinya bukan sahaja dari segi lagu tetapi juga lakonan mahupun lukisan.

“Peminat akan masuk ke dalam dunia penciptaannya yang melahirkan karya bermutu bukan hanya untuk dirinya tetapi ratusan pemuzik serta penyanyi yang pernah mendapatkan sentuhannya,” katanya.

Tiket dijual berkonsepkan seleksi lagu popular ciptaan M. Nasir dengan harga RM238 (Awan Nano), RM338 (Sejati), RM458 (Fenomena), RM488 (Cinta Kristal), RM528 (Mustika) dan RM588 (Apokalips) di laman sesawang www.ticket2u.com.my bermula 11 pagi mulai 27 Mei ini. — BERNAMA

BERITA LAIN

CHE TA puji pakaian AAISYAH

BARU-BARU INI, tular satu video dimuat naik di TikTok milik Che Ta yang memuji anak perempuannya, Aaisyah memakai khimar. Menerusi video tersebut, Che Ta memberitahu

SEUNG GI terima tempias

PELAKON dan penyanyi, Lee Seung Gi menerima tempias akibat perbuatan bapa mentuanya yang dituduh atas kesalahan memanipulasi harga saham. Seung Hi minta meninggalkan dunia seni

PKR Kelantan wujudkan NGO Anak Muda MADANI

PASIR MAS, Kelantan: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kelantan akan membentuk satu badan bukan kerajaan (NGO) khas yang dikenali sebagai Anak Muda MADANI bagi menyantuni golongan

BERITA TERBARU