Trending

Konsert perlu atau tidak

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

BARU-baru ini, peminat muzik di Malaysia dikejutkan dengan pembatalan Good Vibes Festival 2023 disebabkan “aksi” kumpulan The 1975 di Litar Sepang Antarabangsa.

Dalam konsert tersebut, vokalis kumpulan The 1975, Matty Healy memegang botol arak di pentas dan mencium pemain bes Ross McDonalds.

Malah, Healy turut membuat ucapan menghina undang-undang Malaysia berkaitan isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Disebabkan kontroversi ini, The 1975 disekat untuk membuat persembahan di Malaysia dan membatalkan persembahan mereka di Taiwan dan Indonesia.

Sudah terang lagi bersuluh, jika kita memasuki negara orang, kita perlu menghormati dan mematuhi segala peraturan dan undang-undang yang ada.

Begitu juga dengan The 1975, mereka sebagai tetamu sepatutnya menghormati undang-undang sesebuah negara.

Tindakan Malaysia menyenaraihitamkan kumpulan ini merupakan langkah terbaik dan menunjukkan bahawa negara kita mempunyai pendirian tetap berkenaan undang-undang tersebut.

GARIS PANDUAN

Sarawak turut menolak kemasukan kumpulan tersebut daripada memasuki negeri ini dan berpegang teguh serta menyokong keputusan kerajaan Malaysia untuk mengharamkan mereka menentang dasar negara ini.

Berbanding konsert Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) 2023 yang diadakan di Sarawak bermula pada 1997.

Walaupun banyak artis luar negara dijemput membuat persembahan, Sarawak tidak pernah mempunyai masalah sebegini.

Terdapat garis panduan yang ditetapkan dan perbincangan awal dilakukan bersama-sama artis jemputan.

Semasa RWMF tahun ini juga, ada antara rakan Semenanjung Malaysia dan Sabah yang datang ke Sarawak semata-mata untuk menyertai RWMF.

Kata mereka, selain daripada menghadiri festival tersebut, mereka turut meluangkan masa berkunjung ke Muzium Budaya Borneo dan merasai sendiri makanan yang ada di negeri ini.

Makanan seperti kek lapis, mi kolok dan laksa Sarawak antara makanan kegemaran mereka sepanjang berada di sini.

Sehubungan itu, menurut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, Sarawak terbuka dengan penganjuran konsert atau festival muzik sedemikian, malah mengalu-alukan mana-mana penganjur untuk membawa masuk acara ke dalam negeri ini.

TEMPIAS EKONOMI

Penganjuran pesta muzik ini juga membawa kepada peluang ekonomi.

Ini terbukti apabila seramai 1.3 juta pelancong berkunjung ke Sarawak menyumbang pendapatan sebanyak RM3.27 bilion bagi tempoh Januari sehingga April tahun ini.

Di samping itu, konsert rakyat yang diadakan sempena sambutan Hari Sarawak baru-baru ini juga mendapat sambutan yang menggalakkan orang ramai dari seluruh Sarawak dan pengunjung luar.

Dianggarkan seramai lebih 30,000 pengunjung hadir ke konsert tersebut.

Daripada jumlah ini, terbukti konsert yang diadakan juga adalah antara tarikan pelancong untuk berkunjung ke negeri kita sekali gus merancakkan lagi ekonomi dalam negeri.

Mungkin ada beberapa negeri yang menolak keras penganjuran konsert diadakan kerana dianggap tidak mendatangkan faedah, namun sebagai negeri yang kaya dengan budaya, ia menjadi peluang yang perlu kita manfaatkan sepenuhnya bagi merancakkan kegiatan ekonomi.

Pengunjung datang untuk pesta muzik pasti memerlukan tempat tinggal.

Untuk bergerak akan menggunakan perkhidmatan pengangkutan tempatan dan makan di kedai tempatan.

Justeru, dari sudut ekonomi penganjuran konsert mendatang pelbagai manfaat dan pulangan lumayan sebagai tuan rumah.

Oleh itu, sebagai rakyat Sarawak, kita perlu sentiasa dalam keadaan yang aman dan harmoni sebelum menerima pengunjung dari luar Sarawak supaya mereka berasa selesa serta selamat melancong di negeri kita.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

Lenggok zapin Melayu

ZAPIN berasal dari tradisi Tarian Zafana Orang Arab dari Hadramaut,

E-Paper

27 November 2023

Berita Terbaru