Konspirasi fitnah: Awang Tengah tuntut S’wak Report mohon maaf

KUCHING: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan semalam menyifatkan laporan berita portal Sarawak Report baru-baru ini yang mengaitkan dirinya sebagai memberi suapan kepada hakim mahkamah semasa perbicaraan berlangsung sebagai ‘konspirasi fitnah’.

Menurut Adun Bukit Sari itu, laporan bertarikh 27 Julai itu yang mendakwanya merasuah hakim dengan sejumlah RM285 juta sebagai tidak masuk akal.

“Tiada sebarang salah laku antara saya atau sebarang pegawai kerajaan yang melaksanakan tugas awam untuk memenuhi kepentingan di negeri ini.

“Saya pun tidak tahu siapa hakim mahkamah yang dirujuk dalam laporan Sarawak Report dan sepatutnya ia didedahkan agar orang ramai mengetahuinya,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Awang Tengah yang juga Menteri Perancangan Bandar dan Sumber Asli memberitahu, beliau hanya berkesempatan bertindak balas kepada laporan berkenaan selepas pulang dari luar negara.

Laporan Sarawak Report merujuk kepada tanah di Lot 63, Sawai Land District, yang dokumen hak miliknya dikeluarkan kepada Tanjung Tiara Sdn Bhd pada 28 Mac 1994 selepas Pengerusinya, seorang ahli Parlimen dari Semenanjung Malaysia memohonnya.

“Pemilikan tanah itu mempunyai syarat khas iaitu semua kawasan dijadikan sebagai tanaman dalam tempoh 10 tahun dari pendaftarannya, pada Mac 2004.

“Berdasarkan rekod rasmi, Tanjung Tiara mengemukaan Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) kepada Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar dan 90.6 peratus tanah itu ditanam.

Pada tahun 2010 katanya, berdasarkan pemeriksaan dan pengesahan Jabatan Tanah dan Survei, kurang daripada 60 peratus tanah digunakan untuk penanaman.

“Mahkamah Tinggi Miri kemudiannya mengeluarkan perintah tutup terhadap Tanjung Tiara yang secara jelas pada waktu itu dalam situasi insolvensi dan gagal membangunkan keseluruhan kawasan tanaman.

“Menurut laporan EIA yang dikemukakan oleh perunding, hanya 90.6 peratus daripada tanah seluas 4,856 hektar itu ditanam,” tegasnya.

Menurutnya lagi, notis pentadbiran telah pun dikeluarkan oleh Jabatan Tanah dan Survei kepada pelikuidasi Tanjung Tiara pada tahun 2012 untuk membangunkan sepenuhnya kawasan tanaman itu.

Namun begitu, pelikuidasi itu tidak mematuhi notis pentadbiran sehingga notis mendapatkan semula tanah daripada Tanjung Tiara dikemukakan di bawah seksyen 33A Kanun Tanah.

Menurut rekod Pejabat Tanah, tanah itu masih didaftarkan atas nama Tanjung Tiara Sdn Bhd tetapi tertakluk kepada syarat berikut, iaitu, caj yang memihak kepada Ha Tiung Nuing dan Chan Yitt Fong menurut Perintah Mahkamah dan juga pemilikan tanah diberikan oleh Tanjung Tiara kepada syarikat lain, Osun Timber Sdn Bhd, berdasarkan perintah pengadilan bertarikh 18 November, 2016.

“Berdasarkan rekod tersebut, Kerajaan Negeri dan pegawai-pegawainya tidak menipu Tanjung Tiara mengenai tanah ini,” jelas beliau.

Pertikaian berlaku mengenai sama ada Tanjung Tiara telah membangunkan sepenuhnya semua kawasan penanaman seluas 90.6 peratus kawasan tanah telah difailkan oleh Likuidasi di Mahkamah Tinggi atas nama Tanjung Tiara Sdn Bhd terhadap kerajaan, beberapa menteri dan pegawai Jabatan Tanah dan Survei.

Kes ini sedang menunggu keputusan Mahkamah Tinggi mengenai beberapa isu permulaan undang- undang.

“Saya tidak akan mengulas isu dan pertikaian sebelum ia dibawa ke Mahkamah Tinggi kerana ini adalah subjudice dan saya membiarkan mahkamah untuk membuat keputusan mengenai pertikaian yang dibawa ke mahkamah oleh Likuidasi, dan sama ada terdapat sebarang salah laku oleh sama ada Tanjung Tiara atau defendan.

“Saya juga akan membiarkan pihak mahkamah untuk menentukan sama ada penerbitan artikel itu oleh Sarawak Report merupakan perbuatan menghina mahkamah,” katanya lagi.

Beliau kemudian menggesa supaya editor Sarawak Report untuk menarik balik kenyataan tersebut dan membuat permintaan maaf segera dengan terma yang dipersetujui Awang Tengah, atau berhadapan tindakan undang-undang.