
KUCHING: Kerja-kerja pembinaan sepanjang jalan Matang (dari bangunan Courts Mammoth sehingga persimpangan Malihah) diteruskan semula, kata Datuk Seri Fadillah Yusof.
Penyandang kerusi Parlimen Petra Jaya itu berkata, kerja-kerja tersebut mula semula setelah menggantikan kontraktor yang terdahulu.
“Ini merupakan satu projek yang agak kritikal khususnya di kawasan Matang.
“Justeru, kita sudah melantik kontraktor baharu untuk meneruskan kerja-kerja di tapak pembinaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Sambutan Maulidur Rasul di perkarangan rumah Almarhum Alwie Wahie, Jalan Datuk Ajibah Abol, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, beliau turut mendedahkan bahawa banyak aduan diterima oleh pemandu yang menggunakan jalan FAC-Matang berhubung lampu jalan.
Menurutnya lagi, pihak Sesco sudah menjalankan tanggungjawab untuk memasang kabel bagi kemudahan orang awam.
“Tetapi, setiap ia dipasang, kabel tersebut dicuri. Justeru, saya merayu agar jangan melakukan perkara seperti itu kerana boleh mendatangkan masalah kepada orang ramai,” katanya ringkas.