BAU: Kontraktor yang diamanahkan untuk membina Tebingan Siniawan, di sini nyata menafikan aspirasi penduduk setempat.
ADUN Serembu Miro Simuh berkata, projek berkenaan seharusnya siap kira-kira setahun yang lepas bagaimanapun mengalami kelewatan dan kini merupakan projek sakit.
Katanya, beliau selaku wakil rakyat telah melakukan sehabis baik dengan mengajukan permasalahan tersebut kepada agensi yang berkaitan untuk mempercepatkan penyiapannya.
“Saya telah memberi komen kira-kira tiga tahun yang lalu apabila kontraktor terlalu perlahan, sehingga kini ia belum disiapkan.
“Saya tidak mempunyai kuasa untuk mendesak lebih lanjut, apa yang saya boleh lakukan adalah untuk menggesa, membuat aduan dan memberikan komen, itu sahaja,” katanya pada sidang media sempena Festival Muzik Desa Siniawan (SCMF) di Pusat Khidmat Dun Serumbu, di sini hari ini.
Miro berkata, projek yang dicadangkan oleh pihaknya bersama penduduk setempat turut disokong oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang mahu melihat Pekan Siniawan berwajah baharu.
Bagaimanapun, katanya, kontraktor yang dianugerahkan untuk melaksanakan projek tersebut tidak melihat seperti apa yang diinginkan.
Justeru beliau berkata, agensi yang berkaitan harus tegas pada masa akan datang untuk memantau segala projek di Sarawak.
“Seperti yang kita tahu bukan sahaja Tebingan Siniawan di bawah kategori projek sakit, terdapat banyak projek sakit di seluruh Sarawak.
“Perkara ini menafikan aspirasi rakyat,” katanya.