ARTIKEL

Uggah (tengah) dan Dr Richard (lima kiri) bergambar bersama tetamu lain pada upacara pecah tanah bagi menaik taraf Jalan Penyulok/Nanga Penebak/Ulu Penebak di Ulu Layar, hari ini.

Kontraktor diingatkan untuk tidak bergantung kepada jentera berat tua laksana projek baharu

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BETONG: Kontraktor diingatkan untuk tidak bergantung kepada peralatan atau jentera tua bagi melaksanakan projek-projek baharu di Sarawak.

Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata adakala jentera berat yang digunakan seperti traktor, jengkaut dan sebagainya lebih kerap meragam.

Uggah (topi hitam) dan Dr Richard (tengah) semasa upacara pecah tanah bagi menaik taraf Jalan Penyulok/Nanga Penebak/Ulu Penebak di Ulu Layar, hari ini.

“Apa yang berlaku, masa pembinaan akan terbuang untuk melakukan kerja baik pulih jentera atau menunggu alat ganti tiba sehingga mengakibatkan kelewatan projek yang tidak seharusnya berlaku.

“Justeru, kontraktor yang menjalankan projek pembinaan jalan baharu tidak seharusnya bergantung kepada jentera yang sangat lama untuk projek mereka,” katanya.

Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan itu berkata demikian semasa upacara pecah tanah menaik taraf Jalan Penyulok/Nanga Penebak/Ulu Penebak di Ulu Layar, hari ini.

Jelasnya, ia membabitkan cerminan rakyat terhadap kesungguhan kontraktor melaksanakan projek.

“Orang ramai akan menilai integriti dan kesungguhan kontraktor dalam melaksanakan projek agar siap tepat pada masanya.

“Namun, jika jentera asyik meragam dan sering mengalami kerosakan, pasti lain jadinya,” ujarnya.

Projek jalan berkenaan membabitkan belanja RM15.3 juta melibatkan kerja menaik taraf jalan sepanjang 4.829 kilometer jenis R1, dengan lampu jalan berkuasa solar.

Projek dijangka siap dalam tempoh 18 bulan.

Uggah menambah, Jabatan Kerja Raya (JKR) diamanahkan untuk memantau dengan ketat proses pembinaan.

“Jabatan tidak teragak-agak untuk menamatkan kontrak mereka yang gagal mematuhi pelan kerja, skop dan jadual penyiapan bagi mengelakkan projek itu daripada berakhir sebagai projek tertangguh atau pun tertangguh secara kritikal.

“Apabila menjadi projek tertangguh, rakyat yang menerima manfaat akan menyalahkan kerajaan dan wakil rakyat kawasan.

“Oleh yang demikian juga, jika terdapat sebarang isu kecil, selesaikan dengan pihak JKR,” tambahnya.

Ahli Parlimen Betong, Dr Richard Rapu, dan Pengarah Kerja Raya Sarawak, Dr Cassidy Morris, turut hadir sama.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU