KUCHING: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak tidak akan berkompromi apabila melibatkan isu keselamatan orang awam sepanjang kerja-kerja pembinaan Lebuhraya Pan Borneo (LPB) mahupun ketika laluan telah dibuka kepada orang awam.
JKR Sarawak dalam kenyataan menegaskan, pihak kontraktor telah diarahkan untuk terus meningkatkan serta menambah peralatan keselamatan trafik seperti papan tanda, pemantul cahaya serta penunjuk arah di sepanjang lokasi yang mempunyai lencongan, dalam pembinaan dan gelap.
“Dalam pada itu, pihak kontraktor LPB juga telah diarahkan untuk bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa bagi mengelakkan masalah vandalisme dan kecurian peralatan keselamatan trafik berulang .
“Ia susulan peralatan seperti papan tanda, pemantul cahaya, lampu solar dan kon penghadang pihak kontraktor mengalami masalah vandalisme dan kecurian setiap kali ia ditempatkan di lokasi-lokasi penting seperti lencongan dan simpang masuk ke kampung sehingga mengakibatkan kejadian kemalangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
JKR Sarawak turut menegaskan, setiap kontraktor yang terlibat dengan projek ini juga telah diarahkan untuk mengemas kini Pelan Pengurusan Trafik, di samping pemantauan dari semasa ke semasa oleh pegawai-pegawai Cawangan LPB JKR Sarawak setiap masa.
“Selain itu, pihak kontraktor juga telah diarahkan untuk membuka mana-mana laluan yang telah siap secara fizikal kepada orang awam dengan syarat ia selamat digunakan,” jelasnya.
Untuk berita terperinci, sila langgani e-paper atau akhbar Suara Sarawak di pasaran.