ARTIKEL

Fahmi (tiga kanan) melakukan tinjauan pengoperasian menara telekomunikasi di bawah Pelan JENDELA sempena lawatan kerjanya ke Sabah hari ini, yang turut disertai Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohd Fauzi Mohd Isa (tiga kiri).

Kontraktor, operator menara telekomunikasi perlu jalin kerjasama – Fahmi

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

TAWAU: Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, meminta kontraktor dan operator menara telekomunikasi supaya sentiasa berhubung dan bekerjasama bagi memastikan segala permasalahan dapat ditangani segera, sekali gus mempercepatkan pengoperasian kemudahan itu.

Beliau berkata penyelarasan pengoperasian sesebuah menara telekomunikasi antara kedua-dua pihak perlu dilaksanakan sekurang-kurangnya tiga atau empat bulan sebelum menara telekomunikasi siap bagi membolehkan rakyat menikmati kemudahan telekomunikasi lebih baik.

“Ia penting untuk menyelesaikan masalah yang bakal dihadapi agar menara berkenaan dapat beroperasi dengan cepat dan baik.

“Kita tidak mahu masalah antara pihak pembina dan pihak yang menjalankan operasi mengganggu proses pengoperasian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau pengoperasian menara telekomunikasi di bawah projek Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa Satu di Kampung Mangga di sini hari ini.

Fahmi berkata Kementerian Komunikasi serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) akan melakukan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan projek JENDELA siap serta berjalan lancar.

“Saya telah bertemu dengan semua pihak yang terlibat dan mereka telah memaklumkan menjelang hujung tahun ini, hampir keseluruhan 400 menara (di Sabah) akan disiapkan.

“Apa pun yang berlaku, kita mahu ia disiapkan, dan tindakan akan kita kenakan sekiranya ia tidak dapat disiap seperti yang dijanjikan,” katanya.

Beliau juga berkata pihaknya merancang untuk membina 647 menara baharu, di samping sedang menaik taraf 4,486 stesen pemancar sedia ada, dan akan melengkapkan 303,569 premis dengan sambungan gentian optik di seluruh Sabah.

Fahmi berkata 259 stesen pemancar telah siap dinaik taraf sepenuhnya manakala 18,231 premis telah dilengkapi dengan sambungan gentian optik.

“Perkhidmatan jalur lebar melalui satelit ‘Broadband Wireless Access’ (BWA) akan disediakan di 138 lokasi di kawasan pedalaman,” katanya.

Mengulas tentang tinjauan menara telekomunikasi di Kampung Mangga, Fahmi berkata projek itu diserahkan pada 24 April lepas dan telah beroperasi pada 25 April.

“Tempoh masa berkenaan sangat cepat dan saya telah meminta agar projek ini dijadikan contoh agar penduduk di kawasan berkenaan segera menikmati kemudahan Internet,” katanya.

Sementara itu, Fahmi meminta MCMC mengenal pasti langkah yang perlu diambil untuk menyelesaikan masalah ketiadaan akses Internet di beberapa kawasan di laluan utama di Tawau.

“Tadi saya sempat bertelefon di laluan dari bandar Tawau ke lapangan terbang dan ada tempat-tempat yang tiada line, atau ada line namun hanya 2G.

“Jadi saya minta kita segera kenal pasti apa yang kita perlu lakukan untuk menyelesaikan masalah berkenaan,” tambahnya. – BERNAMA

BERITA LAIN

Ibu Menteri Pendidikan meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Ibu kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, Datin Dr Siti Zalikhah Mohd Nor, meninggal dunia pada 9.30 pagi tadi. Perkara itu dimaklumkan oleh Pejabat

Polis lumpuhkan sindiket penipuan guna fail APK

KUALA LUMPUR: Polis berjaya melumpuhkan sindiket penipuan yang menggunakan fail aplikasi APK (android package kit) ekoran penahanan dua lelaki tempatan dalam serbuan di Pulau Pinang

BERITA TERBARU