ARTIKEL

SELAMAT... Uggah (empat kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil Syarikat Sri Datai-CHM JV Sdn Bhd atas pencapaian KPI yang baik dalam aspek keselamatan bagi dua dua projek yang dilaksanakannya. | Foto Osman Razali

Kontraktor, penyedia perkhidmatan digesa patuhi garis panduan keselamatan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

SIMANGGANG: Kontraktor pembinaan atau penyedia perkhidmatan di negeri ini digesa untuk mematuhi garis panduan keselamatan dengan teliti.

Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) harus mengambil langkah tegas.

“Bagi kontraktor, sila patuh dan ikut garis panduan keselamatan dengan teliti.

“Saya harap JKR mengambil langkah tegas supaya mana-mana kontraktor yang tidak mengikut peraturan keselamatan diambil tindakan,” katanya.

Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan itu berkata demikian semasa merasmikan ‘Celebration of Safe Manhour Without Lost Time Injury’ di sini, semalam.

Jelasnya, tindakan sama juga melibatkan penyedia perkhidmatan seperti feri dan jalan raya.

“Kita menekankan bagaimana untuk meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya dan feri kerana setiap keluarga di rumah mengharapkan ahli keluarga yang keluar bekerja, pulang dengan selamat.

“Sehubungan itu, pastikan jalan raya dan feri di Sarawak sebagai yang paling selamat,” ujarnya.

Uggah menggesa kontraktor lain mengikut jejak langkah Syarikat Sri Datai-CHM JV Sdn Bhd yang diraikan pada majlis tersebut ekoran pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang baik dalam aspek keselamatan ketika melaksanakan projek.

“Syarikat ini berjaya menjaga pekerjanya.

“Tahniah juga kepada JKR. Saya harap kontraktor lain boleh mencontohi mereka dengan melakukan perkara sama yang dilakukan oleh kontraktor tersebut,” katanya.

Syarikat Sri Datai-CHM JV Sdn Bhd merupakan kontraktor projek pembinaan lebuh raya dari Sebuyau ke Lingga dan Jambatan Sungai Lingga.

Kedua-dua projek itu kini masing-masing sudah siap 48.27 dan 61.8 peratus.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU