
KUCHING: Sarawak komited untuk mempersembahkan budaya dan gastronomi terbaik menjelang Konvensyen Persekutuan Ejen Pelancongan India (TAFI) yang julung kali diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada 20 hingga 23 September ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, usaha mempersiapkan pelbagai acara dan program kini sedang giat dilaksanakan bagi memastikan lebih 500 wakil TAFI mendalami perkara menarik tentang Sarawak.
“Semestinya kita memandang serius tentang persiapan menjelang TAFI nanti, ini merupakan pasaran baharu untuk kita (Sarawak) dan mereka (India) termasuk memastikan wakil TAFI yang berkunjung berasa lebih selesa.
“Ini termasuk persediaan makanan kerana kita tahu mereka amat menitikberatkan tentang makanan. Selain itu, lokasi yang akan dilawati supaya mereka akan menikmati pengalaman berharga ketika berkunjung ke Sarawak di samping pelbagai acara menarik lain yang akan dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sidang media TAFI di tingkat 17, Bangunan Baitulmakmur II, Petra Jaya, di sini, hari ini.
Tegasnya, pihak Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) antara badan pelaksana yang akan memastikan perkara-perkara menarik termasuk mempamerkan kumpulan budaya etnik Sarawak yang pelbagai menjelang konvensyen kelak.
Dengan penganjuran konvensyen itu katanya, diharapkan mampu meningkatkan kunjungan dan aktiviti pelancongan di antara kedua-dua pihak.
Jelasnya, perkara ini menjadi peluang keemasan buat Sarawak untuk meningkatkan semula aktiviti pelancongan dan menarik lebih ramai pelancong dari India di samping mempromosikan negeri Sarawak ke negara luar.
Sementara itu, Presiden TAFI, Ajay Prakah berkata, konvensyen ini diharapkan mampu menarik lebih banyak jaringan perniagaan dan bidang pelancongan di antara kedua-dua pihak.
Tegasnya, ia sekali gus menjadi medium untuk kedua-dua negara menjalinkan kerjasama dengan lebih erat khususnya menerusi sektor pelancongan.
Turut hadir, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Zainuddin Abdul Wahab,
Setiausaha Tetap Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Hii Chang Kee, dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak, Sharzede Datuk Salleh Askor.
Untuk rekod, seramai 26,700 pelancong India direkodkan bertandang ke Sarawak pada tahun 2019.