Koperasi kampung jana pendapatan untuk komuniti

LIMBANG: Setiap kampung di Limbang diminta menubuhkan koperasi kampung sendiri bermula tahun hadapan.

Pegawai daerah Limbang, Superi Awang Said berkata, koperasi ini bertujuan untuk menjana pendapatan kampung di mana hasilnya akan berpatah semula kepada penduduk setempat.

“Seperti di Mukah, terdapat sebuah kampung sudah mengemukakan projek bernilai RM4 juta yang akan dikembangkan untuk menjadi tabungan orang-orang kampung.

“Hasil tersebut akan dapat digunakan untuk menghantar anak-akan belajar, membuat program-program kampung, kemalangan, kematian dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata semasa merasmikan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Kampung Patiambun, di sini, semalam.

Superi berkata, akan ada pertandingan kampung-kampung yang berjaya menyimpan duit paling banyak.

“Pertandingan ini bukan sahaja dijalankan diperingkat Limbang namun juga diperingkat Sarawak dan seluruh Malaysia,” jelasnya.

Tambahnya, kampung-kampung di semenanjung perlu dijadikan contoh di mana terdapat dari mereka berjaya menyimpan tabungan sehingga jutaan ringgit.

Berkenaan dengan program, lebih kurang 100 orang penduduk kampung Patiambun hadir memeriahkan majlis ramah tamah tersebut.

Program berkenaan merupakan acara tahunan dijalankan bagi mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara penduduk.

Antara pengisian program dijalankan ialah penyampaian insentif kepada seramai 26 pelajar cemerlang dalam ujian UPSR, PT3, SPM, STPM dan Diploma, persembahan pentas, dan cabutan tiket bertuah.

Turut hadir, ketua-ketua kampung dari kampung berdekatan dan wakil dari pelbagai agensi kerajaan.

Suara Sarawak