KUCHING: Koperasi Wawasan India Kuching Berhad merupakan koperasi milik komuniti India pertama ditubuhkan di Sarawak.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Senator Saraswathy Kandasami
berkata, beliau mengharapkan agar koperasi tersebut terus maju dan berdaya saing seiring dengan koperasi yang lain di seluruh negara dalam memberikan sumbangan terbaik kepada Gerakan Koperasi terutama sekali anggotanya.

“Justeru, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) akan terus mengambil langkah proaktif dan strategik melalui khidmat nasihat pelbagai program pengawalseliaan serta pembangunan koperasi.
“Perkara tersebut untuk memastikan koperasi dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada komuniti setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Perasmian Program Koperasi Bersama Komuniti India Kuching di Dewan Persatuan India Kuching (IAK), hari ini.
Koperasi Wawasan India Kuching Berhad baharu didaftarkan pada 10 November 2022 memberi fokus kepada perniagaan perladangan serta industri asas tani; kerja-kerja perolehan kontrak; pasar mini atau kedai gunting rambut tradisional India; pusat tuisyen menengah; dan institusi kemahiran Pendidikan dan Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Hadir sama Naib Pengerusi Eksekutif (Operasi dan Kawal Selia) SKM Siti Azlin Ahmad Dauta;
Pengarah SKM Negeri Sarawak Liew Liuk Chim; Pengarah Koperasi Wawasan India Kuching Berhad Ahtmanathan Vengidasalam; Penghulu Kaum India Kuching Lucy Lingham; serta wakil-wakil yang lain.