Korban Aidiladha perangi Covid-19

KUCHING: Tidak dinafikan, semua orang rindukan suasana meriah sambutan Aidiladha dengan ibadah korban, gotong-royong dan sebagainya.

Walaupun demikian, masyarakat reda dan sanggup berkorban demi memerangi wabak pandemik Covid-19 dengan harapan dapat menjalani kehidupan seperti biasa semula.

Sambutan masih seperti biasa iaitu kebenaran solat sunat Aidiladha dengan had jemaah mengikut kategori masjid dan surau.

Namun aktiviti ibadah korban tidak dibenarkan berikutan masih terdapat lonjakan kes positif yang tinggi.

Jamaah Ahmad

Begitu juga dengan ziarah raya, ziarah kubur, jamuan selepas solat sunat Aidiladha serta rumah terbuka.

Apa-apa pun, Aidiladha mengajak umat Islam mengingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya, iaitu Nabi Ismail atas ketaatan terhadap perintah Allah SWT.

Aidiladha juga mengajak umat Islam di negeri ini berkorban dengan mengetepikan sambutan yang biasa dilakukan dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Bagi Jamaah Ahmad, 52, dia tetap membuat persediaan sambutan seperti biasa, namun pada kadar sederhana bersama-sama ahli keluarga serumah.

“Ini kerana kita perlu mematuhi SOP dan tidak boleh berkumpul. Saya hanya membuat persediaan ringkas, namun ia tetap diraikan bersama-sama enam ahli keluarga serumah.

“Tidak dinafikan memang sedih kerana ibadah korban dan ziarah ini tidak dapat dilakukan, tiada suasana meriah ketika aktiviti korban seperti selalu.

“Tetapi saya reda. Jadi saya hanya menghantar sedekah ke surau, masjid dan sekitar sebagai memeriahkan perayaan ini,” katanya kepada Suara Sarawak.

Jamaah berharap wabak Covid-19 dapat diperangi dan sambutan perayaan seperti Aidilfitri, Aidiladha dan sebagainya dapat disambut seperti biasa pada tahun depan.

Sementara itu bagi Sapiah Bujang, 62, walaupun sedih kerana anak-anaknya yang berada di Kuala Lumpur dan Sabah tidak dapat balik, dia tetap sambut Aidiladha secara ringkas.

Sapiah Bujang

“Jadi saya hanya menempah makanan kebiasaan Hari Raya seperti nasi minyak, daging masak hitam dan kek lapis untuk sambutan bersama-sama ahli keluarga serumah.

“Ia untuk makan-makan sesama sendiri, dan untuk sedekah kepada jiran-jiran,” ujarnya.

Tambahnya, sebelum ini Aidiladha agak meriah kerana anak-anak balik ke Kuching, namun sudah dua tahun sejak pandemik Covid-19 mereka sudah tidak balik.

Dalam pada itu, dia menyokong tindakan Kerajaan Sarawak tidak membenarkan ibadah korban, ziarah raya dan ziarah kubur kerana ia penting untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

Fairozza Fathia

“Saya bersetuju dengan arahan tersebut kerana ia demi keselamatan kita semua.

“Saya berdoa semoga wabak ini cepat hilang dan berjaya dihapuskan supaya kita dapat merayakan semua perayaan bersama-sama ahli keluarga tercinta,” tambahnya.

Manakala Fairozza Fathia Mohamad Mustapha yang berada di perantauan tidak menafikan perasaannya sangat sedih kerana tidak dapat bersama-sama ahli keluarga.

“Tahun ini saya hanya menyambut secara ringkas dengan adik.

Harapan saya semoga tahun hadapan dapat balik ke Sarawak dan menyambut Aidilfitri dan Aidiladha bersama-sama keluarga.

“Saya rindukan kemeriahan sambutan di negeri tercinta,” katanya.

Suara Sarawak