MILAN: Angka kematian akibat serangan wabak virus korona di Itali melonjak kepada 889 orang, menurut Agensi Perlindungan Awam iaitu pengumuman harian kedua tertinggi sejak epidemik itu muncul pada 21 Februari.
Jumlah kematian di Itali kini mencecah 10,023, setakat ini tertinggi berbanding negara di seluruh dunia. Pada Jumaat, Itali mencatat jumlah harian tertinggi dengan sejumlah 919 orang meninggal dunia.
Sebelum ini sejumlah 712 kematian dilaporkan pada Khamis, 683 (Rabu), 743 (Selasa) dan 602 pada Isnin minggu lalu.
Jumlah kes yang disahkan di Itali meningkat pada Sabtu lalu iaitu 92,472 daripada 86,498 sebelumnya.
Itali juga mempunyai kes kedua tertinggi selepas Amerika Syarikat dan melepasi jumlah China pada Jumaat lalu.
Di Itali, sejumlah 12,384 sudah pulih sepenuhnya pada Sabtu daripada mereka yang mula-mula dijangkiti di seluruh negara berbanding 10,950 orang pada hari sebelumnya.
Setakat ini terdapat 3,856 orang dalam rawatan intensif berbanding 3,732 yang dilaporkan sebelumnya. – Reuters