SEOUL: Korea Utara menguji satu lagi dron serangan nuklear di bawah permukaan air, dalam tindak balas terbaharunya terhadap latihan ketenteraan Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS).
Bagaimanapun, penganalisis mempersoalkan kesahihan bahawa Pyongyang mempunyai senjata sedemikian.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Korea Utara menguji senjata yang disifatkan oleh media negara sebagai dron berkeupayaan nuklear dalam air dan juga melancarkan peluru berpandu balistik antara benua.
“Sebuah institut penyelidikan sains pertahanan negara di DPRK menjalankan ujian sistem senjata strategik bawah permukaan air dari 4 hingga 7 April.
“Don serangan nuklear bawah air Haeil-2, melayari 1,000km jarak simulasi dalam air selama 71 jam dan 6 minit,” kata Agensi Berita Pusat Korea (KCNA).
KCNA menambah bahawa kepala peledak ujian meletup dengan tepat di dalam air.
Ujian itu dengan sempurna membuktikan kebolehpercayaan sistem senjata strategik bawah permukaan air dan keupayaan serangan maut.
Korea Utara mendakwa menjalankan tiga ujian dron bawah permukaan air dalam tempoh kurang tiga minggu setakat ini.
Pada 23 Mac, ia menjalankan ujian pertama Haeil, yang bermaksud tsunami dalam bahasa Korea, yang mampu melancarkan tsunami radioaktif.
Ia menyalahkan latihan ASKorea Selatan bagi keadaan keselamatan serantau yang semakin merosot.
Lima hari kemudian Korea Utara mengesahkan negara itu menjalankan ujian kedua.
Menteri Pertahanan Korea Selatan, Lee Jong-sup bertindak balas dengan memberitahu Ahli Parlimen Seoul akan kemampuan negara itu memantau dan mengesan dron seperti itu menyusup ke dalam air.
Imej satelit juga menunjukkan tahap aktiviti yang tinggi di kompleks nuklear utama Korea Utara selepas pemimpin Kim Jong-un mengarahkan pengeluaran bahan nuklear gred senjata dipertingkat.
Korea Utara tahun lalu mengisytiharkan dirinya sebagai kuasa nuklear yang tidak dapat dipulihkan dan Jong-un baru-baru ini meminta peningkatan eksponen dalam pengeluaran senjata, termasuk senjata nuklear taktikal.
Pada Rabu lalu, Korea Selatan dan AS menjalani latihan udara melibatkan sekurang-kurangnya satu pengebom strategik B-52H berkeupayaan nuklear AS, kata tentera Seoul.
Korea Utara melihat latihan sedemikian sebagai latihan untuk pencerobohan dan bertindak balas terhadap latihan baru-baru ini dengan siri ujian senjata terlarang yang semakin provokatif.