Koronavirus: 2.4 tan metrik bekalan ubat-ubatan dalam perjalanan ke Wuhan

SEPANG: Pertubuhan bantuan Malaysia #OpsHarapan menghantar 2.4 tan metrik bekalan ubat-ubatan ke Wuhan bagi membantu menangani penularan  2019 Novel Koronavirus (2019-nCov) di China.

Pengasasnya, Ng Yeen Seen berkata barangan terdiri daripada penutup hidung dan mulut pelbagai jenis, ‘gogel’ dan bekalan ubat-ubatan hasil sumbangan orang awam itu akan diangkut dengan penerbangan MH386 dari Kuala Lumpur ke Shanghai Pudong, malam ini.

“Selepas kita lancarkan kempen Jumaat lepas, kita berjaya mengumpul 338,000 penutup hidung dan mulut pembedahan dianggarkan bernilai RM338,000; 540 penutup hidung dan mulut N95 bernilai RM4,320; 107,900 sarung tangan getah bernilai RM32,370 dan 876 ‘gogel’ keselamatan dengan nilai RM34,922.

“Nilai keseluruhan barangan ini adalah RM409,612 atau RMB696,340, dan ia dimuatkan dalam 287 karton seberat 2,400 kilogram,” katanya pada sidang media di ibu pejabat MASkargo di sini, semalam.

Yang turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif MASkargo, Datuk Ibrahim Mohamed Salleh dan Pengarah Eksekutif Yunda Express Malaysia, Datuk Luke Low Choon Pheng.

Ng berkata MASkargo dan Yunda Express turut melepasi undang-undang logistik untuk penghantaran barangan berkenaan ke Wuhan, sambil menambah pusingan kedua penghantaran boleh menjadi kenyataan selepas ini.

Katanya, #OpsHarapan masih terbuka menerima sumbangan wang yang akan digunakan untuk membeli bekalan ubat-ubatan bagi membantu Wuhan mengekang penularan yang telah menjejaskan ribuan penduduk China.

“Kami sangat gembira MASkargo dapat  membantu kami,sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akar umbi bukan profesional. Sumbangan (wang) akan digunakan untuk membeli lebih banyak bekalan ubat-ubatan,” katanya.

Menurut Ng, barangan berkenaan akan dimuatkan dalam pesawat kargo MH386 yang akan diterbangkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Shanghai Pudong sebelum dihantar dan diedarkan ke gudang Yunda Express Shanghai.

Yunda Express, sebuah syarikat pengangkutan multinasional kemudiannya akan menyelaras dengan pihak berkuasa tempatan bagi membolehkan barangan berkenaan dihantar ke hospital di wilayah Wuhan dan Hubei, tambahnya.

Sementara itu, Ibrahim berkata MASkargo diberi penghormatan menjadi sebahagian daripada #OpsHarapan kerana syarikat itu berpengalaman menyertai banyak misi bantuan, dengan baru-baru ini membantu mangsa letusan Gunung Berapi Taal di Manila dan mangsa kebakaran hutan di Australia.

Katanya, dengan rangkaian sokongan logistik membolehkan pasukan bantuan bergerak dengan cekap dan pantas membantu mereka yang memerlukan.

Ibrahim berkata MASkargo akan memastikan bekalan ubat-ubatan itu sampai ke hospital berkenaan dan dapat membantu doktor dan jururawat menjalankan tugas mereka dengan selamat.

“Di MASkargo, kami beroperasi dengan keajaiban empati,dengan empati, kami boleh menyalurkan kebaikan hati insan,” katanya. – Bernama

Suara Sarawak