Kos jalan raya

KUCHING: Anggaran kasar pembinaan jalan untuk satu kilometer bagi jalan berturap yang berbukit bukau dan pergunungan adalah RM6.3 juta hingga RM10.7 juta mengikut standard jalan, kata Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Julaihi Narawi.

Sementara bagi jalan berturap untuk tanah rata, beliau berkata anggaran bagi satu kilometer jalan adalah RM4.7 juta hingga RM10.4 juta mengikut jenis standard jalan.

“Bagi jalan berturap untuk tanah gambut, anggaran bagi satu kilometer jalan adalah RM5.7 juta hingga RM12.5 juta mengikut jenis standard jalan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaaan Adun Balingian, Abdul Yakul Arbi mengenai kos untuk membina satu kilometer jalan raya di Sarawak dalam persidangan DUN, di sini hari ini.

Menurutnya, kerajaan juga berhasrat untuk menghubungkan petempatan yang berselerak di seluruh Sarawak bagi memudahkan pergerakan masyarakat di kawasan terbabit.

Jelas beliau, usaha ini akan diteliti berdasarkan pengambilan beberapa faktor, memandangkan ia merupakan agenda penting bagi kerajaan untuk membangunkan kawasan luar bandar.

“Kita mempunyai lebih 6,000 penempatan berselerak di beberapa kawasan di seluruh Sarawak.

“Oleh itu, kita telah melaksanakan beberapa program penyambungan luar bandar seperti jalan pesisir dan jalan utama kedua untuk menghubungkan keseluruhan penempatan yang ada di seluruh Sarawak,” katanya lagi.

Selain itu, beliau juga menjelaskan bahawa struktur pembinaan jalan tersebut dipastikan menepati keselesaan dan keselamatan pengguna.

Suara Sarawak