Trending

Kotakaherah sentiasa menggamit kenangan

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

KALI pertama penulis menjejak kaki di bumi Mesir adalah pada 2015.

Ketika itu penulis yakin itu bukan kunjungan terakhir kerana bumi Kinanah sentiasa menggamit untuk kembali.

Ternyata keyakinan itu menjadi kenyataan sekali lagi apabila direzekikan Allah SWT menjejakkan kami pada 2023 kali ini.

Tempat pertama dijejaki tentulah Lapangan Terbang Terminal 2 yang menjadi gerbang ke ibu kotanya.

Berbeza dengan kunjungan pada 2015, lapangan terbang antarabangsa baharu ini jauh lebih mengagumkan berbanding yang lama.

Sistem imigrisen kini lebih cekap dan pengurusan bagasi jauh lebih sistematik. Kota Kaherah penuh sejarah dan rancak membangun.

Ia kota terbesar di Mesir dengan penduduk lebih 28,504,352 (2023) dengan kepadatan 19,376 orang setiap kilometer persegi.

Kota Kaherah memang sangat istimewa. terletaknya universiti tertua dunia, Universiti al-Azhar, dan masjid bersejarah seperti Masjid al-Azhar, Masjid al-Hakim bi Amr Allah, Masjid Amru Ibnu as, Masjid Sultan Hasan (Masjid empat Mazhab), Masjid Ibnu Tulun, Masjid Muhammad Ali dan banyak lagi.

Di kota ini juga terdapatnya Sungai Nil iaitu antara sungai terpanjang di dunia yang mengalir sehingga ke Laut Mediteranean.

Di kota ini juga terdapat tinggalan sejarah Mesir kuno seperti piramid dan sphynx.

PESAT MEMBANGUN

Pada hari ini, kota ini pesat membangun dengan pembesaran Kota Kaherah sehingga dibangunkan bandar baru di luar Kota Kaherah lama termasuk Kota Kaherah Baru (New Cairo) yang bakal menjadi ibu kota baharu Mesir.

Kota Kaherah lama menjadi semakin padat dan kurang selesa didiami.

Faktor tumpuan utama kegiatan sosioekonomi menyebabkan Kota Kaherah lama menjadi kota yang tidak pernah tidur.

Ia menjadi antara kota yang menerima pelancong dunia teramai dengan lebih 6.81 juta pada 2019.

Industri pelancongan merupakan pendapatan utama negara Mesir dengan hasil 389 bilion Pound Mesir pada 2018.

Di Kaherah hampir semuanya menarik untuk dilihat dan dipelajari.

Daripada gabungan keindahan bangunan kuno dan serba moden, diikuti warganya yang penuh sikap dan ragam pelbagai.

Dengan sistem pengangkutan pelbagai dari kereta kuda, tuk tuk, kereta, bas, perkhidmatan teksi dan perkhimatan e-hailing, kereta api dan sistem transit Cairo Metro.

Ia menyedarkan kita tidak semua yang lama ditinggalkan di sebalik kemunculan sesuatu yang baharu dan canggih.

Menu masakan ala Melayu atau Nusantara terdapat banyak dijual di sekitar kawasan Hayyu Asir dan Hayyu Sabi’e.

Di situ terdapat ramai pelajar Asia Tenggara.

Kita boleh sahaja mencuba menu Arab seperti kunafa, shawarma, falafel dan kushari. Tidak lupa Nasi Arab Khabsa dan Mandy.

Tetapi yang istimewa ialah resipi hamam mahshi iaitu burung merpati isi nasi yang hanya terdapat di Mesir.

BUAH MURAH

Di Kota Kaherah, jangan terlepas menikmati pelbagai buah-buahan yang dijual dengan harga murah.

Jika kena dengan musimnya, kita cukup puas menikmati buah strawberi, anggur dan oren yang manis dengan harga cukup murah.

Kaherah terletak di kawasan tersubur di lembah sungai Nil yang penuh berkah menjadikan buah-buahan dan sayursayuran mudah hidup subur.

Mesir juga menghasilkan kurmanya tersendiri.

Saat tidak dapat dilupakan ialah menikmati pelbagai jenis jus buah-buahan segar yang tersedia di gerai sepanjang laluan pejalan kaki di kebanyakan kawasan.

Penulis paling menyukai minuman qasab (jus tebu), jus mangga, jus jambu, jus prikot dan tentunya jus strawberi.

Selain itu terdapat juga jus epal, jus nanas dan sebagainya.

Harganya terlalu murah.

Bagi kita yang datang dari Nusantara, kunjungan ke Kaherah menyebabkan kita begitu merindui suasana menghijau yang sukar dilihat di Mesir.

WARNA TANAH

Bangunan yang terdapat di Kaherah agak seragam iaitu terbina dari batu-batan dan tidak ada yang dibuat daripada kayu-kayan.

Warga Kaherah kebanyakannya mendiami apartmen dan rumah pangsa.

Tidak banyak warna lain, selain warna tanah kerana bumi Mesir sering mengalami ribut pasir.

Bagi penulis, kunjungan ke Kaherah istimewa kerana sentiasa ada sahaja perkara baharu dan menarik untuk dilihat dan dipelajari.

Apatah lagi dengan pembukaan Kota Kaherah Baharu yang letaknya 22 kilometer dari Kota Kaherah Lama yang menghidangkan cara hidup metropolitan yang serba canggih dan moden.

Tiada siapa dapat meramalkan bagaimana wajah Kaherah dalam tempoh lima atau 10 tahun akan datang.

Ia sudah semakin mendekati kehebatan kota negara Arab yang lain seperti Dubai, Abu Dhabi, Doha, Muscat, Riyadh dan Jeddah.

Malah, dikatakan ia mampu mengatasi kehebatan sesetengah kota di Eropah.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

22 September 2023

Berita Terbaru