KUCHING: Seramai 200 penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sarawak diaktifkan sempena sambutan Hari Gawai 2023.
Ketua Setiausaha KPDN Datuk Azman Mohd Yusof berkata, jumlah terbabit antara yang telah diaktifkan bagi memantau Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP).
Menurutnya, skim terbabit telah pun berkuat kuasa bermula Isnin (29 Mei) hingga Ahad (4 Jun).

“Seramai lebih daripada 150 hingga 200 jumlah penguatkuasaan di Sarawak telah diaktifkan.
“Jumlah ini bergantung berdasarkan lokasi titik panas yang kita lihat, sekiranya terpaksa ditambah kita akan saling bergembleng dan bekerjasama dalam melaksanakan penguatkuasaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir melaksanakan tinjauan ke atas peniaga, sekali gus melancarkan pelancaran SHMMP Hari Gawai 2023 peringkat Negeri Sarawak 2023 di Pasaraya Farley, Batu 6 Kuching, hari ini.
Turut dipantau katanya, bekalan barang kawalan bagi memastikan kesemua barangan terbabit mencukupi menjelang sambutan hari perayaan nanti.