KPDNHEP bantu rangsang ekonomi negara – Alexander

PUTRAJAYA: Membantu dan melindungi hak pengguna serta peniaga yang terkesan akibat pandemik wabak COVID-19 merupakan cabaran besar dalam situasi norma baharu bagi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Menterinya Datuk Alexander Nanta Linggi berkata dalam pergerakan terbatas, mereka tetap menjalankan tugas dalam pelaksanaan inisiatif yang telah dirancang dan penguatkuasaan bersesuaian dengan situasi semasa.

“Cabaran paling utama tentunya pelaksanaan tugasan dalam situasi noma baharu namun semua ini bukan menjadi alasan untuk tidak menjalankan tanggungjawab kepada orang ramai dan negara,” katanya dalam satu temu bual ekslusif bersama Bernama sempena 100 hari beliau menerajui kementerian tersebut.

Meskipun berdepan kekangan norma baharu tersebut, Alexander berkata hasil kerja keras dan kerjasama semua pihak terutamanya kakitangan kementerian itu berjaya mencatatkan beberapa pencapaian dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga kini Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) demi memastikan hak dan keperluan pengguna serta peniaga dilindungi.

Katanya pelbagai penyelarasan dan penyelasaian berjaya dicapai berkaitan bekalan barangan makanan dan keperluan yang dilaksanakan melalui perlaksanaan pasukan khas bersama kementerian lain.

Selain itu, beliau berkata kementeriannya juga komited membantu negara dalam proses pemulihan ekonomi susulan penularan pandemik COVID-19 yang memberi kesan besar kepada ekonomi negara.

Sejajar dengan perkembangan teknologi juga, KPDNHEP juga giat mempromosikan transaksi dalam talian bersesuaian dengan norma baharu untuk merancakkan perniagaan.

“Selain menjaga kepentingan pengguna dan peniaga kecil, pada masa yang sama, kita juga bantu proses ‘restart’ dan ‘ease of doing business’ bagi sektor korporat bagi memulihkan ekonomi.

“Justeru pelbagai insentif dan faedah telah diperkenalkan yang bukan sahaja memberi manfaat kepada pengguna, malah kepada pemain industri antaranya menawarkan kadar penurunan kompaun kepada sektor perniagaan korporat sebanyak 90 peratus serta memberi penangguhan ke atas kelewatan memperbaharui pendaftaran perniagaan dan sebagainya,” jelasnya.

Alexander berkata fokus penguatkuasaan juga turut diberi tumpuan bagi memastikan bekalan barangan makanan dan keperluan harian mencukupi di pasaran pada harga yang berpatutan terutamanya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Pemantauan ke atas semua sektor perniagaan terus diperkukuh dan dipertingkatkan sepanjang tempoh tersebut di seluruh negara bagi memastikan bekalan tidak terputus dan harga barangan kebersihan kesihatan juga terkawal.

“Pemantauan dilaksanakan di peringkat pengilang, pengeluar dan pemborong bagi mengesan jika berlaku aktiviti pencatutan selain memastikan bekalan mencukupi untuk elak ‘panic buying’.

“Jadi pengguna tidak perlu khuatir kerana bekalan adalah mencukupi serta mampun menampung eperluan dalam negara secara berterusan dan mudah diperolehi,” jelasnya.

Tegasnya, KPDNHEP tidak akan berkompromi tehadap mana-mana peniaga yang didapati melanggar undang-undang seperti memanipulasi harga atau mencatut.