KPDNHEP berkuasa kompaun individu, premis tidak patuh SOP PKP

KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah diberi kuasa untuk memeriksa serta mengenakan tindakan kompaun kepada mana-mana individu atau premis yang didapati tidak mematuhi prosuder standard operasi (SOP) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dijalankan.
Pengarah KPDNHEP Putrajaya Azman Adam berkata, penguatkuasaan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) itu diberikan sepanjang tempoh PKP bermula 8 Mei tahun lalu.
“Penurunan kuasa merangkumi Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengkompaun Kesalahan-Kesalahan) (Pindaan No 11) 2020 P. U. (A) 301/ 2020; PPPPPB PKK (Pindaan No 12) P. U. (A) 308/2020; dan PPPPPB PKK (Pindaan No 8) P. U. (A) 254/2020.
“Jadi pegawai penguatkuasa KPDNHEP berkuasa untuk pematuhan SOP berhubung aktiviti-aktiviti dilarang yang disenaraikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tegasnya, tindakan kompaun RM1,000 boleh dikenakan sekiranya didapati tidak mematuhi SOP PKP.
Tambahnya, pihaknya juga dapat memerintahkan mana-mana premis ditutup sekiranya masih gagal mengikuti SOP seperti mana disarankan oleh Kerajaan.
Azman dalam pada itu menggesa semua pihak khususnya pemain industri dan pengguna bersama-sama bertanggungjawab dalam memastikan sektor perdagangan tidak menyumbang kepada peningkatan Covid-19 serta menjalankan aktiviti ekonomi di bawah sektor pengedaran dengan mematuhi SOP PKP yang sedang berkuat kuasa.
Katanya, KPDNHEP juga konsisten mengawal selia aktiviti perdagangan dan pengedaran di negara ini bagi memastikan rangkaian pengedaran, pemborongan dan peruncitan tidak terjejas.
Ujar beliau, penyeliaan itu juga adalah untuk memastikan tiada perlakuan peniaga yang mengambil kesempatan memanipulasi harga dan bekalan barangan pengguna dalan tempoh pandemik wabak tersebut.