KPDNHEP komited kuat kuasa SHMMP, jamin lindungi kepentingan semua pihak

KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan meneruskan pelaksanaan harga maksimum daging lembu tempatan seperti yang diwartakan dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP HRP) 2021 yang berkuat kuasa pada 21 April sehingga 20 Mei ini.

Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata penetapan harga siling berkenaan iaitu RM34.00 sekilogram di buat secara seimbang hasil daripada kajian menyeluruh di semua peringkat, daripada pengeluar, pemborong sehingga peruncit dengan semua pihak dipastikan masih boleh mendapat keuntungan.

“SHMMP HRP 2021 ini turut melindungi kepentingan kumpulan peniaga demi memastikan elemen mengaut keuntungan berlebihan tidak berlaku.

“Perlakuan mengambil kesempatan dengan menaikkan harga, tidak sahaja berlaku dalam lingkungan antara peniaga dengan pengguna, situasi ini juga boleh berlaku dalam kalangan peniaga sesama peniaga juga.

“Peniaga daging lembu tempatan adalah juga pengguna bagi barang keperluan lain.

“Oleh kerana itu, Kerajaan melaksanakan SHMMP HRP 2021 yang menetapkan harga siling di setiap peringkat perniagaan (ladang, borong dan runcit) dengan tujuan tiada manipulasi harga untuk mengaut keuntungan yang tidak munasabah berlaku di antara peniaga kepada peniaga,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau menyatakan demikian susulan desakan serta dakwaan beberapa pihak yang memberi gambaran seolah-olah penetapan harga maksimum itu menganiaya peniaga sehingga menyebabkan mereka mengalami kerugian.

Alexander menambah penetapan harga maksimum daging lembu tempatan adalah untuk bahagian lembu biasa sahaja yang menjadi pilihan sebahagian besar pengguna.
Katanya bahagian lain seperti tulang, hati, limpa, perut, usus, ekor, daging batang pinang, daging harimau menangis serta bahagian daging yang telah dibuang urat dan lemak tidak termasuk dalam harga siling SHMMP dan peniaga bebas menjualnya pada harga munasabah.

“Pengguna yang berkeinginan kepada bahagian lembu yang premium seharusnya bersedia untuk membayar pada harga yang premium juga,” katanya.

Justeru, beliau berkata dakwaan segelintir pihak bahawa peniaga mengalami kerugian disebabkan penetapan harga siling ini adalah tidak tepat.

Alexander berkata berdasarkan pemantauan KPDNHEP di bawah SHMMP HRP 2021 bagi daging lembu tempatan peringkat runcit, terdapat peniaga yang menjual pada harga lebih rendah daripada harga maksimum ditetapkan iaitu antara RM27 hingga RM32 sekilogram berbanding harga maksimum RM34 sekilogram.

Pengguna boleh menyalurkan maklumat aduan berkaitan salah laku peniaga yang melanggar undang-undang di bawah bidang kuasa KPDNHEP secara rasmi melalui  portal e-aduan.kpdnhep, Call Centre 1-800-886-800, emel e-aduan@kpdnhep.gov.my, Ez ADU KPDNHEP, Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) 03-8882 6088/6245 atau Whatsapp 019-279 4317.

Suara Sarawak