Trending

KPDNHEP pantau rapi kenaikan harga bawang

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tidak akan teragak-agak melaksanakan harga kawalan bagi menangani isu kenaikan harga bawang di negara ini jika didapati ada keperluan dan keadaan mendesak.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata ini termaktub di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum) (No. 2) (Pindaan) 2020.

Katanya langkah itu sebagai antara komitmen kementerian menangani isu kenaikan harga bawang yang menimbulkan rungutan dalam kalangan pengguna sejak kebelakangan ini.

Bagaimanapun, beliau berkata buat masa ini, pihaknya memantau rapi perkembangan isu itu dan sentiasa mencari jalan terbaik bagi mengatasinya.

“Seperti barangan keperluan lain, harga bawang turut dipengaruhi faktor bekalan dan permintaan.

“Jika bekalan berkurangan dan tidak mampu menampung permintaan yang tinggi, ia tentunya akan mempengaruhi kenaikan harganya di pasaran.

“Ini yang berlaku ke atas bawang India, yang turut mempengaruhi keseluruhan bekalan bawang di negara ini, kecuali beberapa jenis bawang seperti bawang Holland,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pasukan penguat kuasa kementerian akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan di semua peringkat termasuk pembekal, pemborong serta peruncit dalam usaha menangani isu berkenaan.

Untuk rekod, bekalan bawang di negara ini diimport dari 29 buah negara, dengan lima negara adalah pengeskport terbesar iaitu India (36 peratus), Pakistan (23 peratus), China (19 peratus), Belanda (9 peratus) dan Thailand (7 peratus).

India merekodkan jumlah pengeksportan bawang berjumlah 149,539,411 kilogram ke negara ini, bersandarkan permintaan tinggi yang dipengaruhi cita rasa dan trend pemakanan rakyat tempatan.

Bagaimanapun, Kerajaan India pada 14 September lalu mengeluarkan arahan larangan eksport ke atas semua jenis bawang kecuali jenis Bangalore Rose dan Krishnapuram bagi menampung keperluan domestik mereka susulan banjir yang berlaku di negara itu.

Berikutan itu, 121 syarikat pengimport mula meningkatkan jumlah pengimportan bekalan bawang dari negara seperti Pakistan, China, Belanda dan Thailand.

Keseluruhannya, Malaysia mengimport lapan jenis bawang iaitu bawang kecil merah (India), bawang besar (India), bawang merah (China), bawang kecil merah (China), bawang kecil merah Rose, bawang kecil merah (Myanmar), bawang kecil merah (Thailand) dan bawang besar kuning (Belanda atau lebih dikenali sebagai bawang Holland).

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

26 November 2023

Berita Terbaru