ARTIKEL

KPM sedia bincang modul hadis untuk sekolah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

BATU PAHAT: Kementerian Pendidikan (KPM) sedia bertemu mana-mana pihak untuk berbincang mengenai kekeliruan berhubung pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di sekolah seluruh negara.

Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying, berkata kekeliruan berkenaan timbul apabila beberapa NGO menyatakan kebimbangan mereka, sekali gus menimbulkan pelbagai spekulasi.

Beliau sekali lagi menegaskan pelaksanaan modul terbabit hanya akan dilaksanakan kepada pelajar dan guru beragama Islam sahaja dan bukan kepada mereka yang beragama lain.

“Jadi mereka (termasuk NGO) tidak perlu risau, saya faham kerisauan mereka ini, namun kami di KPM bersedia untuk bertemu dan berbincang sekiranya mereka ada apa-apa soalan berkaitan.

“Hadis 40 ini semua orang tahu hanya untuk murid dan guru yang beragama Islam, kami di KPM berharap isu ini tidak lagi diperbesarkan,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Cheng Siu 1 & 2.

Mengulas mengenai kekurangan guru di SJKC dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) beliau berkata, pihaknya kini dalam usaha untuk mengatasi masalah berkenaan.

Baca lain  PM Anwar dijadual adakan pertemuan dua hala dengan Justin Trudeau

Beliau berkata, KPM telah selesai mendapatkan data di enam negeri iaitu Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kedah, dan Perlis dan akan mula mengumpul data di Johor bermula 7 Sept.

“Sebenarnya, isu kekurangan guru ini bukan sahaja melibatkan SJKC dan SJKT sahaja tetapi turut melibatkan Sekolah Kebangsaan. Antara subjek yang menghadapi masalah adalah Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu dan Pendidikan Islam,” katanya.

Semalam, Dong Jiao Zong dipetik sebagai meluahkan kebimbangan mereka apabila hanya 15 guru pelatih diterima masuk ke subjek major Bahasa Cina dalam Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) dan bilangan berkenaan disifatkan tidak cukup untuk menampung situasi kekurangan guru subjek Bahasa Cina.-BERNAMA

BERITA LAIN

BERITA TERBARU