KUCHING: Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengemukakan cadangan untuk menyemak semula ketetapan berkaitan struktur pemilikan pusat tuisyen kepada Jemaah Menteri minggu depan.
KPM dalam kenyataan hari ini berkata, cadangan itu dikemukakan susulan pelbagai pandangan yang dibangkitkan berhubung ketetapan berkenaan, selain pendirian kementerian yang sentiasa terbuka untuk mendengar pandangan semua pihak.
Ketetapan berkaitan struktur pemilikan pusat tuisyen sebelum ini diperincikan dalam Buku Dasar Institusi Pendidikan Swasta yang diterbitkan pada tahun 2006.
KPM berkata, ruang pendidikan perlu kekal terbuka kepada semua pihak yang mahu menyumbang kepada pembangunan dan pembelajaran anak-anak Malaysia.
“Sehubungan itu, KPM akan mengemukakan cadangan untuk menyemak semula ketetapan berkaitan struktur pemilikan pusat tuisyen untuk pertimbangan Jemaah Menteri minggu hadapan,” menurut kenyataan itu.
Kementerian turut menghargai sumbangan pengusaha pusat tuisyen selama ini dan akan terus bekerjasama dengan semua pihak demi kepentingan pendidikan anak-anak Malaysia.




