KPM serah kepada guru tentukan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran – Menteri

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) menyerahkan kepada guru untuk menentukan kaedah pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang terbaik berdasarkan kekangan dan situasi yang dihadapi pelajar di rumah semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menterinya Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata terdapat garis panduan yang diberikan pada guru ketika awal PKP dalam menetapkan kaedah mana yang sesuai digunakan dalam menyampaikan pengajaran untuk pelajar di rumah.

Katanya KPM turut melaksanakan kajian membabitkan lebih 670,000 ibu bapa dengan jumlah pelajar hampir 900,000 orang berkenaan pemilikan peranti elektronik.

“Kajian mendapati pemilikan peranti elektronik untuk P&P yang dapat dilaksana di rumah agak terhad,” katanya.

Jelasnya dapatan kajian menunjukkan hanya enam peratus mempunyai komputer peribadi, 5.76 peratus mempunyai tablet, sembilan peratus mempunyai komputer riba dan 46 peratus mempunyai telefon pintar manakala 36.9 peratus pelajar tidak mempunyai sebanyak peranti.

“Dalam konteks ini pengajaran di rumah merupakan satu cabaran untuk ibu bapa bagi anak-anak yang tidak mempunyai peranti dan akses kepada internet.

“Sebab itu dari awal kita tekankan kepada guru-guru untuk ambil kira kekangan yang dihadapi oleh pelajar di rumah dalam menetapkan apakah kaedah yang patut diguna pakai untuk melaksana P&P di rumah,” katanya.

Mohd Radzi berkata beliau yakin dengan kemampuan guru-guru untuk mencari kaedah yang kreatif dalam menyampaikan P&P kepada para pelajar.

“Saya yakin dengan usaha guru-guru akan dapat melaksana P&P dengan baik cuma tidaklah seperti mana ketika anak-anak ini di sekolah.

“Dari semasa ke semasa kami di kementerian akan terus memastikan usaha-usaha akan terus dibuat bagi pastikan penyampaian P&P dapat ditingkatkan,” katanya.

Berkenaan saluran TV Pendidikan, beliau berkata maklum balas yang diterima adalah baik.

“KPM juga sedang bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) menambah baik TV Pendidikan untuk pelajar mendapat manfaat ketika berada di rumah semasa tempoh PKP,” katanya.

Suara Sarawak