Krisis dunia: Fokus hasil keluaran tempatan, kurangkan import

KUALA LUMPUR: Dunia kini menghadapi pelbagai krisis seperti kebakaran hutan, peningkatan paras air laut, konflik peperangan, pencemaran alam sekitar dan terbaharu penularan 2019 Novel Koronavirus.

Namun di Malaysia, krisis yang patut membimbangkan datangnya dalam bentuk yang amat asas iaitu makanan kita.

Umum mengetahui negara banyak bergantung kepada import bahan makanan dan risikonya masalah bekalan akan timbul sekiranya negara pengeluar menghadapi masalah seperti kemarau atau banjir – contoh jelas ‘harga bawang merah yang melambung’ baru-baru ini berikutan kekurangan bekalan di negara pengeluar.

Statistik Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menunjukkan berlaku pertambahan jumlah import makanan saban tahun dengan RM224.7 bilion direkodkan untuk tempoh lima tahun dari 2013 hingga 2017, iaitu meningkat pada kadar purata 7.2 peratus setahun iaitu daripada RM38.8 bilion pada 2013 kepada 51.3 billion pada 2017.

Menurut Pakar Ekonomi Pertanian dan Sumber Prof Datuk Dr Mad (RPT: MAD) Nasir Shamsudin negara mempunyai Kadar Sara Diri (SSL) yang masih kurang dan kesannya negara menjadi pengimport bersih makanan dengan defisit imbangan perdagangan makanan yang meningkat dari tahun ke tahun.

Tenaga pengajar di Universiti Putra Malaysia (UPM) itu turut berkongsi, misalnya pada 1990 defisit imbangan perdagangan makanan negara mencatatkan hanya RM1.1 billion namun meningkat kepada RM8.5 billion pada 2006 dan melonjak naik lebih RM18.6 bilion pada 2018.

“Trend itu semakin meningkat kerana kadar pertumbuhan penduduk semakin tinggi dan permintaan makanan sudah berubah antaranya kerana kenaikan pendapatan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di UPM, dekat sini baru-baru ini.

Meskipun Malaysia boleh dianggap berada di kedudukan yang baik di tangga ke-28 daripada 113 negara oleh Global Food Security Index 2019, tetapi ia bukan ‘lesen’ untuk negara terus selesa tanpa mengambil inisiatif bagi mengurangkan import.

Pada 2017, SSL untuk makanan asas seperti beras mencatatkan 70 peratus, daging lembu (22.2 peratus), daging kambing (10.2 peratus), ikan (92.8 peratus), susu (58.3 peratus), buah-buahan (77.5 peratus) dan sayur-sayuran (46.6 peratus).

Mengulas lanjut, Mad Nasir berkata sektor pertanian di negara ini terbahagi kepada dua iaitu agromakanan dan komoditi industri dan secara amnya banyak digunakan dengan tanaman industri seperti kelapa sawit.

Seluas 5.8 juta hektar tanah pada 2018 telah ditanam dengan kelapa sawit dan ia berlaku kerana pulangan daripada komoditi industri melebihi daripada pengeluaran makanan.

“Ini bukan bermaksud pulangan dalam sektor pengeluaran makanan tidak menguntungkan, ia menguntungkan tetapi dari segi relatifnya pulangan tanaman komoditi industri adalah lebih tinggi daripada makanan… contohnya, RM1 yang dilabur dalam kelapa sawit lebih tinggi pulangannya dibandingkan RM1 yang dilabur kepada pengeluaran makanan,” ujarnya.

Justeru, sudah tiba masanya untuk melihat pelaburan dalam bidang pengeluaran makanan sebagai pulangan sosial yang akan membawa pulangan dari segi kesejahteraan rakyat dan keamanan negara.

“Kalau kita lihat dari segi polisi negara maju seperti Amerika Syarikat dan sebagainya, mereka melihat pelaburan dalam bidang pengeluaran makanan ini sebagai pulangan sosial kerana kajian menunjukkan kalau tiga hari sahaja negara tidak kecukupan makanan ia akan jadi huru-hara dan kacau-bilau,” jelasnya.

Dalam usaha mengurangkan import, dasar guna tanah boleh dilakukan iaitu melalui penyisihan kawasan tanah pertanian khusus untuk penghasilan makanan selain memperkasakan usahawan, kata pensyarah kanan Fakulti Pertanian UPM itu.

Sementara itu, Bahagian Industri Tanaman, Ternakan dan Perikanan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memaklumkan import masih perlu dilakukan bagi menampung kekurangan pengeluaran tempatan dan memenuhi permintaan bagi bahan makanan yang tidak ekonomik untuk dihasilkan dalam negara seperti buah-buahan dan sayur-sayuran temperate, gandum, gula dan sediaan gula.

Bagaimanapun, dalam usaha mengurangkan kebergantungan import kementerian mengambil langkah proaktif dalam memastikan pertanian tidak ketinggalan seiring dengan perkembangan teknologi dan Revolusi Industri 4.0.

Selain itu, kementerian akan terus memberi penekanan program pertanian moden selaras dengan aspirasi kerajaan menuju Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Antara contoh pertanian moden yang telah diperkenalkan ialah pembangunan pakej teknologi pertanian tepat untuk pengeluaran padi, pembangunan pertanian bandar dan pembangunan kilang tanaman iaitu penanaman secara persekitaran terkawal melalui pembangunan kilang tanaman dilengkapi sistem Internet of Things (IoT).

Usaha itu antara lain dilihat selari dengan manifesto Pakatan Harapan bagi menjamin keperluan makanan asas rakyat dan menjaga kebajikan petani.

Suara Sarawak