KRT berkongsi rezeki, mengimarahkan bulan mulia

PUSA: Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Dang Esah setiap tahun tidak ketinggalan mengajak ahlinya berkongsi rezeki dengan penduduk kampung melalui program sumbangan kurma dan buah-buahan sunah bersempena ketibaan Ramadan al-Mubarak.

Pengerusinya Mohd Sharkawi Meni memberitahu, pihaknya bersama KRT Hilir Kalok sudah tiga tahun menjadikan aktiviti ini sebagai amalan pada bulan puasa.

“Alhamdulillah apa yang KRT lakukan semakin menarik perhatian ahli apabila masing-masing tidak mahu melepaskan peluang untuk bersama menyumbang dan bersedekah.

“Sehingga, KRT selain menggunakan dana sendiri turut berjaya mengumpul dan mengagihkan 800 bungkusan kurma dan buah-buahan sunah kepada dua masjid dan enam surau serta golongan asnaf di kawasan sekitar,” katanya.

Beliau bercakap demikian ketika ditemui selepas menghantar sumbangan ke masjid dan surau di sini, semalam.

Jelas Sharkawi, ahli-ahli begitu bersemangat untuk mengimarahkan pembukaan awal Ramadan.

“KRT merupakan platform yang amat sesuai untuk memupuk amalan bersedekah seterusnya meningkatkan ibadah di bulan Ramadan.

“Saya berterima kasih kepada semua yang terlibat dan kita merancang untuk meneruskan penganjurannya pada masa akan datang,” ujarnya.

Beliau secara peribadi turut mencetak 500 helai jadual berbuka puasa yang diagihkan bersama sumbangan tersebut.

Beliau dalam pada itu mengharapkan ahli-ahli KRT sedaya upaya untuk bersama-sama mengimarahkan Ramadan dengan apa jua aktiviti.