KUCHING: Penganjuran Liga Sepak Takraw Kenyalang (KSL) 2021 tidak hanya dianggap sebagai pentas bagi pemain mengetengahkan bakat masing-masing.
Kejohanan julung kali dianjurkan badan induk Persatuan Sepak Takraw Sarawak (PSS) dengan kerjasama Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) itu turut berperanan sebagai medan untuk pemain meneruskan kesinambungan bakat yang ada.
Terutama bagi barisan pemain muda yang selesai mengakhiri tugas mereka di temasya Sukan Malaysia (Sukma).
Setiausaha Agung PSS Hasweera Hassan berkata, selalunya pemain muda yang sudah menamatkan tugas mereka di temasya Sukma tiada hala tuju.
“Justeru diharap penganjuran KSL 2021 akan dapat mencetus satu fenomena baharu terhadap sukan sepak takraw di Sarawak sekali gus memperlihatkan bermula era baharu terhadap pembangunan sukan itu,” tambah Hasweera.
KSL 2021 dijadual berlangsung dari bulan Oktober hingga Disember dan dibahagikan kepada tujuh zon.
Dua regu yang layak ke final peringkat zon secara automatik akan mewakili zon masing-masing untuk berentap bagi memburu kejuaraan pada peringkat akhir yang akan berlangsung di Kuching.
Hadiah berupa piala, pingat dan wang tunai menanti pasukan yang berjaya.
Juara untuk peringkat bahagian akan menerima wang tunai RM1,500, naib johan RM1,000 dan wang tunai RM500 untuk pemenang tempat ketiga bersama.
Manakala bagi peringkat akhir pula, johan akan menerima wang tunai RM3,000, naib johan menerima RM2,000 dan wang tunai RM1,000 untuk pemenang tempat ketiga bersama.