KUCHING: Regu berpengalaman luas, KS Blusters berazam mahu mara ke pentas akhir Liga Sepak Takraw Kenyalang (KSL) 2021 Zon Samarahan yang akan berlangsung di Stadium Tertutup Unimas, Kota Samarahan Ahad ini (28 November).
Pengurus Pasukan, Aziman Samat menegaskan, walaupun menyedari misi kearah itu adalah mencabar mengambil kira anak-anak buahnya perlu melepasi peringkat separuh akhir yang dijadual berlangsung pada sebelah pagi hari yang sama.
Namun kata Aziman, jika pemain dapat mengekal prestasi cemerlang mereka nanti peluang kearah itu dapat direalisasi sepenuhnya.
“Sasaran kita mahu memastikan slot ke perlawanan akhir hujung minggu ini. Ia bukan tugas mudah buat pemain kerana mereka perlu melepasi peringkat separuh akhir terlebih dahulu,” ujar Aziman kepada Arena Suara Sarawak.
Apa pun, Aziman percaya tiada mustahil untuk direalisasikan dan yang penting mengharap pemain kekal fokus sepanjang perlawanan.
Tambah Aziman, tempoh rehat seminggu ini telah dipergunakan pemain dengan sebaiknya untuk meningkatkan tahap kecergasan diri.
“Kita mengguna masa yang ada seminggu ini dengan latihan yang lebih terarah kepada meningkatkan tahap kecergasan,” jelas beliau lagi.
Aksi separuh akhir yang terdahulu berangsung menyaksikan KS Blusters akan menentang D8 Dominators.
Satu lagi perlawanan peringkat separuh akhir antara regu Gedong A dan Kajas.
Regu KS Blusters musim ini diperkuatkan pemain berpengalaman, Wan Edrus (apit kanan), Henday (apit kanan), Safarnizam (apit kiri) dan Zulfadhli (tekong).