Kuarantin dua pelajar bersama kerana bilik hotel terhad

KUCHING: Keputusan Sarawak meletakkan dua orang pelajar dalam sebuah bilik hotel untuk kuarantin dibuat selepas mendapat nasihat pakar perubatan, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Beliau menjelaskan polisi itu dibuat atas faktor bilangan bilik hotel yang terhad dan tidak mencukupi untuk menampung jumlah 7,000 pelajar yang balik dari Semenanjung, Sabah dan Labuan, termasuk rakyat Sarawak yang biasa.

“Kalau seorang daripadanya positif, kita dapat mengesan seorang kontak rapat sahaja.

“Tetapi sebelum dimasukkan ke dalam bilik hotel, mereka akan dipastikan tidak mengalami sebarang simptom jangkitan Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) lama di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian dan Pengarah Kesihatan Sarawak Dr Chin Zin Hing.

Sementara, Uggah merangkap pengerusi JPBN berkata Sarawak telah menyelaras kepulangan membabitkan seramai 7,029 orang pelajar yang balik dari Semenanjung, Sabah dan Labuan.

Di samping itu, katanya JPBN juga telah menyelaras seramai 5,883 pelajar yang menuntut di Sarawak untuk kembali ke tempat masing-masing.

“Kerajaan negeri telah menanggung semua kos penginapan dan makanan di semua di pusat kuarantin di seluruh Sarawak,” katanya.

Suara Sarawak