ARTIKEL

Kuartert wanita pecah rekod kebangsaan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUARTERT 4×100 meter (m) wanita negara bukan sahaja merangkul gangsa malah memecahkan rekod baharu kebangsaan pada Sukan SEA 2023 di Phnom Penh.

Saingan berlangsung di Stadium Nasional Morodok Techo menyaksikan kuartet Malaysia dibarisi Azreen Nabila Alias, Zaidatul Husniah Zulkifli, Nur Afrina Batrisya Mohd Rizal dan Nur Aishah Rofina Aling melakar 44.58 saat (s) sekali gus memadam rekod lama iaitu 45.18s dicatat Zaidatul bersama Siti Fatimah Mohamad, S. Komalam, dan Nurul Faizah Asma Mazlan pada Kejohanan Trek dan Padang Asia (ATF) ke-22 di India pada 2017.

Pingat emas dimiliki kuartet Thailand yang merekodkan masa 44.24s manakala Vietnam pula meraih perak menerusi catatan 44.51s.

Zaidatul yang teruja dengan pencapaian tersebut berkata mereka sememangnya tidak memikirkan soal pingat namun lebih menumpukan untuk memecahkan rekod kebangsaan.

“Sudah lama kami tak buat catatan bawah 45s, bila dapat 44.58s saya sangat terkejut dan teruja kerana jauh dari rekod lama, paling hampir pun ketika di Terbuka Kuala Lumpur dan Terbuka Singapura 45.7s bulan lepas.

“Tapi dalam masa sebulan kami dapat 44s, bagus bagi kami, terima kasih kepada jurulatih pecut, Mohd Poad Md Kassim yang banyak bantu kami kerana beliau memang sasar untuk pecah rekod kebangsaan di Sukan SEA 2023,” katanya kepada pemberita.

Dalam pada itu, kuartet 4x100m lelaki negara diwakili Muhammad Zulfiqar Ismail, Jonathan Nyepa, Muhammad Haiqal Hanafi dan Khairul Hafiz Jantan terpaksa berpuas hati berkongsi pingat gangsa dengan Singapura selepas kedua-duanya mencatat 39.36s.

Pencapaian kuartet Malaysia pada kali ini menyaksikan mereka gagal mempertahankan pingat perak dimenangi pada edisi 2021 di Hanoi, Vietnam.

Indonesia yang menampilkan larian bertenaga muncul juara acara tersebut dengan catatan 39.11s untuk meninggalkan kuartet Thailand di tempat kedua dengan 39.13s.

Jonathan ketika ditemui pemberita yakin pencapaian dilakar di bumi Kemboja merupakan permulaan yang bagus untuk mereka selepas dibentuk sejak awal tahun ini.

Walaupun tidak berjaya mempertahankan perak, Muhammad Haiqal pula tetap berpuas hati kerana setidaktidaknya dapat mengubati kekecewaan di Terbuka Singapura baru-baru ini selepas larian mereka dibatalkan susulan masalah teknikal.

“Tak dapat perak hari ini namun tetap puas hati dapat gangsa kerana mental kami memang terganggu sewaktu insiden di Singapura tempoh hari, jadi segala kesilapan di sana telah berjaya kami perbaiki di Kemboja,” katanya. – Bernama 

BERITA LAIN

England ke final Euro 2024

Skuad England mara ke final Euro 2024 setelah mengalahkan Belanda 2-1 pada aksi separuh akhir awal pagi tadi. Mereka akan menentang Sepanyol pada aksi final

BERITA TERBARU

Penganjuran Samarahan Family Fun Run promosikan ART

KOTA SAMARAHAN: Dalam usaha mempromosikan Transit Aliran Automasi (ART), acara ‘Samarahan Family Fun Run 2024’ bakal dianjurkan bagi memberikan kesedaran kepada orang ramai menggunakan perkhidmatan