KUCHING: Penyerahan kuasa yang membolehkan Kerajaan Sabah dan Sarawak meluluskan projek-projek pembangunan bernilai bawah RM50 juta akan mengurangkan karenah birokrasi.
Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Fazzrudin Abdul Rahman berkata, ia sekali gus dapat mempercepatkan pelaksanaan projek-projek untuk rakyat.
“Ia juga membolehkan birokrasi tertentu dipintas dan mengurangkan birokrasi dalam melaksanakan projek pembangunan di kedua-dua negeri terbabit.

“Di samping memberi ruang kepada Sarawak dan Sabah untuk mempunyai lebih kuasa dalam pembangunan yang dilaksanakan.
“Malah dalam jangka masa terdekat, ia membolehkan penekanan yang lebih besar terhadap pembangunan bersepadu serta merapatkan jurang antara kawasan luar bandar dan bandar,”katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Adun Tupong itu berkata, pelaksanaan pantas projek pembangunan merupakan kunci untuk merealisasikan Strategi Pembangunan Pasca-Covid-19 (PCDS) 2030 yang diilhamkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Pada masa yang sama, beliau berharap lebih banyak pemulihan dan pengembalian hak-hak Sarawak dan Sabah oleh Kerajaan Persekutuan.
“Sarawak amat menyambut baik perkembangan terkini berkaitan pemulihan hak-hak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan atas keputusan tersebut,” ujarnya.
Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pengumuman hari ini memberitahu langkah terbaharu itu bagi memastikan keputusan segera dapat dibuat segera tanpa perlu kata putus peringkat Persekutuan.