Kuasa wanita bantu kemenangan GPS

SARIKEI: Peranan yang dimainkan oleh kaum wanita mampu membantu kemenangan besar Parti Gabungan Sarawak (GPS) dalam pilihan raya negeri akan datang.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak, Datuk Sri Fatimah Abdullah berkata, ia boleh dilaksanakan melalui pelbagai pendekatan termasuk mendampingi masyarakat peringkat akar umbi khususnya golongan muda.

Katanya, kemenangan amat penting kerana hanya kerajaan GPS mampu membela nasib wanita Sarawak.

“Kerajaan GPS bersungguh-sungguh berusaha untuk memartabatkan kedudukan wanita dalam semua aspek termasuk sosial dan ekonomi. Dengan adanya GPS, kita ada kapal kita sendiri, nakhoda kita sendiri. Malah, kita boleh menentukan hala tuju dan masa depan kita sendiri demi anak-anak Sarawak,” katanya pada Sambutan Hari Wanita 2019, Peringkat Bahagian Sarikei di Dewan Serbaguna Kampung Seberang hari ini.

Beliau yang juga Ketua Wanita PBB Sarawak berkata, dalam hal yang berkaitan, wanita berperanan menyalur maklumat tepat kepada rakyat bagi menangkis segala tohmahan yang dilontarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Tetamu jemputan mengabadikan kenangan beramai-ramai dalam program Hari Wanita

Malah katanya, mereka perlu aktif melaksanakan program turun padang bagi mengenalpasti segala isu dan masalah penduduk di peringkat akar umbi.

“Wanita tidak boleh bersikap tunggu dan lihat. Mereka perlu proaktif mendampingi masyarakat melalui Skuad Sayang. Jangan tunggu Yang Berhormat (YB), jika ada musibah kita perlu tampil membantu.

“Manakala bagi penganjuran program pula, kita perlu mengikis persepsi aktiviti anjuran kita hanya untuk orang tua. Justeru, kita harus lebih kreatif supaya mampu menarik penyertaan lebih ramai golongan muda.

“Pada masa sama, kita harus mempunyai jawatankuasa khas bagi menangkis tohmahan tidak berasas yang disebarkan melalui media sosial,” katanya.

Sambutan Hari Wanita merupakan salah satu platform bagi mengiktiraf sumbangan wanita dalam pembangunan negara selain perangsang kepada mereka untuk bergiat aktif membangunkan keluarga dan masyarakat.

Tetamu jemputan mengabadikan kenangan beramai-ramai dalam program Hari Wanita
di Kampung Seberang Sarikei.

Sehubungan itu, Fatimah memberitahu, sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri Sarawak melalui tema ‘Sarawak Women in Safety and Security’ diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada 28 September ini.

Majlis sambutan itu katanya, bakal dirasmikan Ketua Menteri Datuk Patinggi, Abang Johari Tun Openg serta isteri, Datin Patinggi Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang.

“Seperti sebelum ini, acara utama bagi sambutan ialah pelancaran buku mengenai ‘Sarawak Women in Safety and Security: In Good Hands.’ Terdapat sebanyak enam anugerah juga akan disampaikan pada sambutan kali ini.

“Anugerah itu ialah Datuk Patinggi Laila Taib, Penggiat Sosial Wanita, Usahawan Wanita, Kepemimpinan Wanita, Pencapaian Khas dan Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Cemerlang,” katanya.

Turut diadakan forum perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Ordinan Perlombongan Minyak 1958 (OMO58).

Hadir sama, Menteri Muda Undang-undang Persekutuan dan Pemantauan Projek Sarawak, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh, Setiausaha Ketua Menteri, Faridah Osman dan Pengarah Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak, Noriah Ahmad.

Memotong nasi pulut kuning sebagai simbolik perasmian program.

 

Tetamu jemputan dan peserta mendengar taklimat yang disampai melalui sesi forum.