Kuasai ilmu bina masa depan

MATU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.44 Jemoreng, Datuk Dr Juanda Jaya menggesa golongan belia agar menguasai teknologi baharu bagi menangani cabaran sejajar dengan perubahan arus semasa.

Beliau berkata, belia yang bakal mewarisi kepimpinan negara wajar melengkapi diri dengan kemahiran yang dipacu dengan teknologi terkini.

“Perkembangan pantas dunia hari ini menuntut golongan belia bertindak proaktif seiring dengan peredaran zaman” katanya ketika menyempurnakan perasmian Jelajah Belia Sarawak 2019 di Dewan Suarah Matu semalam.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak Nancy Jolhi dan Pegawai Daerah Matu, Wan Hipni Wan Mohamad.

Juanda berkata, penguasaan ilmu kemahiran juga amat penting sebagai persiapan menghadapi pasaran pekerjaan yang kian mencabar.

“Justeru golongan belia jangan leka dan rebut setiap peluang kerana masa depan terletak di tangan kita sendiri.

“Sentiasa belajar dan terus belajar, terutamanya berkaitan teknologi, manfaatkannya dengan sebaik mungkin untuk kesejahteraan bersama.

“Pada masa yang sama, mereka juga harus aktif berpersatuan dan belajar mengendalikan organisasi. Ia merupakan satu ilmu yang amat berharga yang bukan saja bermanfaat untuk diri sendiri tetapi juga masyarakat ,” ujarnya.

Program selama tiga hari itu dihadiri lebih 500 dari sekitar daerah ini.

Matu merupakan destinasi jelajah keempat selepas Asajaya, Lama dan Debak.

Juanda memanah belon sebagai simbolik perasmian Jelajah Belia Sarawak 2019 di Dewan Suarah Matu semalam.

 

Mengabadikan kenangan bersama peserta.

 

Antara peserta yang mengambil bahagian.