KUCHING: Sarawak akan memaksimumkan penguasaan ilmu teknologi terkini dalam usaha mentransformasikan ekonomi bagi mencapai status negeri maju menjelang 2030.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, usaha tersebut diperhebatkan dengan golongan muda mula mengorak langkah menguasai ilmu Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Kita di Sarawak cuba untuk memaksimakan penguasaan ilmu terkini dalam mentadbir negeri termasuk melaksanakan inisiatif ekonomi digital menggunakan kaedah teknologi semasa.
“Setakat ini, anak-anak Islam kita sudah cuba mengorak langkah dalam bidang STEM bagi menguasai ilmu terkini. Dengan itu, saya yakin kita dapat mula mentransformasikan cara mengurus ekonomi negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis Penangguhan Liqa’ Mahabbah Jabatan Mufti Se-Malaysia Kali Kedua di sebuah hotel terkemuka di sini, malam tadi.
Menurutnya, dalam memperkasa usaha tersebut, Kerajaaan Sarawak bekerjasama dengan Jabatan Mufti Sarawak membangunkan pusat-pusat astronomi di negeri ini.
“Kita sudah ada sebuah pusat astronomi di Miri yang siap dibina pada Julai tahun lepas dan sebuah lagi di Bintulu masih dalam perlaksanaan.
“Insya-Allah, kalau rezeki Sarawak bertambah, kita akan ada membina pusat astronomi di kawasan Pantai Damai pula,” katanya.
Ujarnya, pusat astronomi itu bakal menjadi satu lagi daya tarikan penting kepada para belia untuk mempelajari ilmu angkasa.
Hadir sama, isteri Premier Sarawak, Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang; Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar; Mufti Sarawak, Datu Kipli Yassin, Yang di-Pertua Majlis Islam Sarawak, Datu Misnu Taha serta tetamu kehormat lain.