Kuasai teknologi secara bijak

KITA sering menganggap dunia semakin kecil.
Adakah ini bermakna bumi ini mengecut dan mengalami perubahan akibat tsunami, gempa bumi dan lain-lain?
Tidak semestinya.
Dalam konteks budaya, dunia digambarkan sebagai “semakin mengecil” bukan kerana perubahan fizikal dunia itu, tetapi disebabkan pembangunan pesat teknologi maklumat dan rangkaian komunikasi.
Namun, bagaimana kita dapat mengaitkan kenyataan bahawa dunia semakin kecil berbanding dengan rangkaian maklumat dan komunikasi?
Dunia semakin kecil sekarang tidak bermaksud bentuknya semakin kecil.
Namun, kerana tidak terdapat ruang dan masa untuk kita saling berinteraksi dengan masyarakat lain kerana teknologi sekarang yang semakin canggih.
Hari ini, dunia berada di hujung jari dan dengan hanya satu klik atau panggilan telefon, seseorang itu boleh menghubungi orang lain dalam beberapa saat.
Rangkaian komunikasi dan maklumat seperti telefon, radio, komputer, Internet, satelit dan sebagainya membolehkan kita menghantar dan menerima maklumat malah alat-alat komunikasi terkini, seperti telefon bimbit membenarkan anda menghadiri mesyuarat tanpa perlu menghabiskan banyak masa dan wang.
Lebih-lebih lagi pada waktu pandemik Covid-19 ini, teknologi sangat membantu.
Misalnya bekerja dari rumah dengan menggunakan jaringan Internet dan ia membantu mengelak jangkitan Covid-19.
Justeru, walaupun jarak beribu batu, tetapi dengan adanya teknologi, jarak menjadi amat dekat.
Bagi penulis, teknologi maklumat memainkan peranan penting dalam kehidupan manusia masa kini dan jika dahulu teknologi merupakan gaya hidup golongan tertentu.
Namun kini ia menjadi keperluan.
Teknologi komunikasi membolehkan kita berkomunikasi pada jarak jauh dan mendapatkan maklumat yang dahulunya mungkin sukar didapati dengan pantas, cekap, dan banyak.
Kini dunia nampaknya terbahagi dua iaitu dunia nyata dan dunia maya.
Jika kita melihat ruang siber, ia tidak hanya melalui suara atau teks biasa, seperti mesej dan telefon tetapi kita juga dapat berinteraksi melalui panggilan video dalam aplikasi WhatsApp, Facebook, Instagram, dan lain-lain.
Ia akan dapat digunakan bukan hanya dalam negara tetapi juga dapat berinteraksi dengan orang lain yang berada di mana sahaja di dunia.
Sama ada mereka yang kita kenal atau tidak, ia juga menjadikan dunia lebih kecil kerana walaupun jaraknya cukup jauh, ia masih dapat dicapai.
Di Sarawak, kerajaan telah berusaha bersama syarikat telekomunikasi seperti Telekom Malaysia (TM) untuk menyediakan rangkaian perkhidmatan Internet di di kawasan luar bandar.
Hal ini kerana, ia dapat membolehkan setiap lapisan masyarakat sama ada di bandar, luar bandar mahupun pedalaman dapat memanfaatkan teknologi.
Namun, pernahkah kita berfikir adakah terdapat kelemahan atau impak negatif daripada semua ini?
Jika kita lihat bagi mereka yang terlalu sibuk dengan ruang siber, terlalu fokus pada telefon bimbit sudah pasti ia akan memberi kesan kepada mereka, malah kepada persekitaran mereka.
Walaupun kita tahu bahawa kadang-kadang perbelanjaan bagi Internet ini agak mahal namun apa yang penting ialah ia juga mampu memberi impak terhadap tindakan jenayah melalui media sosial, seperti pencurian dan penipuan atas talian.
Terdapat juga kesan kepada kanak-kanak atau remaja apabila terdapat laman web perbuatan tidak bermoral, malah ia juga mampu mengubah cara berfikir mereka, terutama pada anak kecil dan remaja.
Ia memberi impak terhadap kanakkanak masa kini hingga usia remaja.
Jika beberapa tahun lalu, alam kanak-kanak dipenuhi dengan aktiviti bermain di luar rumah, berbasikal dan sebagainya, namun kanak-kanak pada abad ke 21 pula terdedah kepada penggunaan pelbagai peralatan teknologi seperti televisyen, Internet, komputer, telefon pintar serta permainan video.
Jika masyarakat terlalu khusyuk dengan teknologi, ia boleh menyebabkan perkembangan mereka dipengaruhi oleh sumber teknologi.
Justeru membawa kesan negatif dalam kehidupan mereka yang merupakan aset penting kepada masa depan negara.
Interaksi sosial memainkan peranan yang penting dalam sesebuah organisasi kerana kepentingan interaksi adalah sebagai penyalur dan perkongsian maklumat antara sesama manusia yang perlu dilalui oleh seseorang kanak-kanak dan remaja sehinggalah membawa kepada peringkat dewasa.
Antara keburukan teknologi maklumat terhadap kanak-kanak dan remaja ialah menghalang kecergasan interpersonal, iaitu hubungan sesama manusia dan menyebabkan kurangnya komunikasi dengan orang di sekeliling.
Melihat kepada satu artikel yang ditulis dalam satu portal, penulis pernah membaca bahawa terdapat kesan buruk kepada ibu bapa yang mengawal ‘tantrum’ atau kemarahan secara tiba-tiba dengan menggunakan teknologi seperti telefon bimbit.
Tantrum adalah sesuatu yang normal tetapi mencabar kesabaran ibu bapa dan tantrum boleh berlaku dalam bentuk kemarahan, kekecewaan, dan tingkah laku yang mencabar.
Anak tersebut boleh menjerit, menangis, menendang, memecahkan barang-barang dan berkelakuan ganas.
Pada usia lebih kurang dua tahun, kanak-kanak akan menguji kesabaran ibu bapa dan mereka tidak boleh melihat sesuatu perkara daripada pandangan orang lain.
Mereka ingin bebas untuk meneroka persekitaran mereka.
Namun, sikap ibu bapa yang meredakan tantrum kanak-kanak dengan menggunakan gajet merupakan tindakan yang kurang bijak kerana kanak-kanak tersebut tidak akan berjaya untuk mengawal emosi mereka dan kawalan emosi mereka juga akan terbantut.
Oleh itu, didiklah anak-anak dengan cara yang betul, menguasai dunia teknologi dengan tidak melampaui etika kemanusiaan.
Begitu juga dengan golongan muda, kuasailah teknologi secara bijak, mengikut keperluan dan saluran yang betul.
Bukannya menyalahgunakannya, lebih-lebih lagi untuk mengkhianati seseorang.
Jangan sampai, kehidupan kita dikuasai teknologi sepenuhnya, sehingga menyebabkan kita hilang arah, hilang etika dan hilang nilai-nilai kemanusiaan.

Suara Sarawak