KUCHING: Rakyat Sarawak harus menterjemahkan semangat sayang dan cintakan Sarawak dengan memastikan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menang besar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini, kata Pengerusi Pemuda GPS Miro Simuh.
Katanya kejayaan GPS memenangi 76 daripada 82 kerusi pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) yang lalu perlu menjadi manifestasi penting untuk memastikan menang sekurang-kurangnya 26 daripada 31 kerusi pada PRU-15, sekaligus menguatkan lagi suara Sarawak di peringkat persekutuan.
“Semangat inilah kita perlu bawa ke pelusuk Sarawak bahawa GPS adalah kerajaan terbaik bukan sahaja memimpin negeri tapi sebahagian kerajaan yang akan membentuk kerajaan persekutuan selepas PRU-15,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pemuda GPS di Stadium Perpaduan, Petra Jaya hari ini yang disempurnakan oleh Premier Sarawak merangkap Pengerusi GPS Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Majlis itu menghimpunkan lebih 2,000 orang daripada barisan pemuda parti komponen GPS iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) yang datang dari seluruh pelusuk Sarawak.
Sementara, penyandang Parlimen Sibuti selaku pengerusi penganjur majlis Lukanisman Awang Sauni berkata yakin GPS bukan hanya sekadar mendapat undi pemuda tetapi juga semua lapisan pengundi.
Menurutnya terdapat hampir 700,000 atau 45 peratus orang pengundi di Sarawak adalah golongan pemuda berusia 18 hingga 39 tahun.
“Barisan Pemuda kita akan berusaha untuk memenangi semua lapisan pengundi tidak kira di kedai kopi, gelanggang futsal dan padang untuk membolehkan kemenangan yang besar untuk GPS,” katanya.



