KUCHING: Terkenal dengan kemasukan pelancong baik dari dalam mahu pun luar negara, menjadikan bandar raya Kuching sebagai antara pilihan untuk pelaksanaan “Projek Destinasi Rintis Covid-19 Free Destination”.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Seri Nancy Shukri berkata projek ini bagi memulihkan semula industri pelancongan serta menggalakkan rakyat, warganegara asing yang berada di Malaysia (seperti ekspatriat dan pegawai diplomatik) dan pelancong asing untuk melancong ke Malaysia.
“Selain Pulau Langkawi, destinasi rintis bagi program ini turut dicadang untuk dilaksanakan di Kuching.
“Pemilihan Kuching dibuat memandangkan ia terletak di laluan integrasi nasional, sekaligus dilihat dapat meningkatkan lagi perpaduan rakyat di negara ini menerusi sektor pelancongan dan kebudayaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pada masa sama, beliau berkata pemilihan Kuching selepas Langkawi juga adalah seiring dengan usaha mengangkat bandar raya ini sebagai salah satu jaringan bandar raya kreatif di peringkat UNESCO dan ASEAN di bawah kategori Gastronomi pada masa terdekat.
Menurutnya, kepelbagaian menu warisan dan hidangan berasaskan etnik menjadikan Kuching pilihan utama untuk diangkat sebagai bandaraya kreatif kategori Gastronomi.
Malah, katanya kekayaan biodiversiti yang mempunyai pelbagai tumbuhan herba turut memberi nilai tambah kepada Kuching.