Kuching berwarna kuning

KUCHING: Daerah Kuching bertukar status merah kepada kuning, kelmarin.

Menurut kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), pertukaran itu susulan jumlah kes tempatan yang dilaporkan dalam tempoh 14 hari lepas kekal 39 kes.

“Bagi Daerah Samarahan, Serian, Bau dan Lundu masih kekal berstatus kuning,” jelasnya.

Tambah JPBNS, setakat semalam Samarahan mencatatkan 11 kes tempatan dalam tempoh 14 hari yang lepas manakala Serian kekal dengan tiga kes tempatan.

“Daerah Lundu dan Bau kekal dengan satu kes tempatan yang dilaporkan dalam tempoh 14 hari lepas. Ini menjadikan jumlah daerah berstatus kuning sebanyak lima daerah.

“Sejumlah 35 daerah masih berstatus hijau,” katanya. Dalam hal berkaitan, JPBNS juga memutuskan bahawa kawalan pergerakan di Sarawak dibahagikan kepada zon satu meliputi Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian.

Manakala zon dua meliputi Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Kapit, Mukah, Bintulu, Miri dan Limbang.

“Mana-mana pergerakan yang melibatkan zon satu ke zon dua atau sebaliknya hendaklah mendapatkan kebenaran bertulis terlebih dahulu daripada balai polis berhampiran.

“Manakala pergerakan keluar dari Sarawak ke Semenanjung, Sabah dan Labuan, tidak perlu mendapatkan kebenaran,” jelas JPBNS.

Untuk rekod, setakat semalam, terdapat enam sekatan jalan raya di lima daerah sempena dengan Op Benteng.

“Ia melibatkan dua daerah di Lundu, manakala satu daerah masing-masing di Bau, Serian, Sri Aman dan Lubok Antu.

“Daripada enam sekatan jalan raya tersebut, sebanyak 1,810 jumlah kenderaan telah diperiksa,” dedah JPBNS.

Suara Sarawak