Kuching City ikat Terengganu II

PENGEMUDI Kuching City FC (KCFC), Irfan Bakti Abu Salim berpuas hati pemain berjaya mengutip satu mata pada aksi malam kelmarin.

Kuching City FC mengikat Terengganu FC II dengan jaringan 1-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam kelmarin.

“Ini merupakan aksi kompetitif pertama pemain dan memang sedikit kelam-kabut berbanding pasukan tuan rumah,” ujar Irfan ketika mengulas persembahan pemainnya kepada Arena Suara Sarawak.

Menurut Irfan, barisan kesebelasan utama diturunkan pada perlawanan malam kelmarin beraksi mengikut pelan yang dirancang.

“Kita mempunyai beberapa peluang, cuma percubaan yang tidak menepati sasaran,” tambah beliau. Beliau yakin mutu permainan anak didiknya akan meningkat pada setiap perlawanan dilalui selepas ini.

Pada perlawanan tersebut, skuad KCFC terdahulu dikejutkan jaringan Amirul Syazwan Nor Azmi minit ke-20. Pertahanan berpengalaman KCFC, Mohd. Hairol Mokhtar mengikat kedudukan (1-1) menerusi gol dijaringkannya pada minit ke-30. Skuad KCFC selepas ini berdepan tugas mencabar iaitu akan menentang Johor Darul Ta”zim II (JDT II) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos pada 13 Mac ini.

Suara Sarawak