KUCHING: Skuad Kuching City FC kempunan untuk meraih tiga mata penuh selepas sekadar mencatat keputusan seri (1-1) menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Negeri, Petra Jaya malam tadi.
Biarpun ceria mendahului pelawat menerusi gol cantik dijaringkan pemain lincah Zahrul Nizwan Joe Kifli minit ke-8.
Kelebihan tersebut gagal dipertahankan apabila Negeri Sembilan bangkit menyamakan kedudukan (1-1) menerusi jaringan penyerang import mereka, Anselmo Arruda Da Silva minit ke-34.
Aksi sama pantas diperaga pemain kedua-dua pasukan terbabit. Masing-masing mempunyai peluang untuk menambah koleksi jaringan, namun percubaan dilakukan gagal menepati sasaran.
Ia merupakan keputusan seri ketiga buat The City Boys dalam keadaan menamatkan saingan pusingan pertama kempen Liga Super 2023 kekal di kedudukan ke-13, mengumpul tujuh mata setakat ini.