Kuching City tidak kisah main siang

PENGURUS Kuching City FC (KC FC), Ideris Untong memberitahu, tiada masalah untuk para pemain beraksi petang membabitkan perlawanan di gelanggang sendiri, Stadium Likas, Kota Kinabalu dalam kempen Liga Premier 2021.

Menurut Ideris, situasi tersebut bukanlah sesuatu yang baharu bagi mereka, kerana rata-rata pemain pernah melaluinya.

“Kita bermain sebelah petang untuk aksi di gelanggang sendiri.

“Tiada masalah untuk pemain mengharungi situasi tersebut,” ujar Ideris kepada Arena Suara Sarawak.

Ideris mengakui, sesi latihan KCFC ketika ini pun dijalankan pada sebelah petang.

Justeru katanya, para pemain sudah biasa dengan keadaan tersebut.

“Kami akan beraksi di Likas selepas berapa perlawanan di Semenanjung,” ujarnya.

Dalam perlawanan pertama KCFC akan menentang Terengganu FC II pada 10 Mac (Rabu) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Diikuti perlawanan kedua menentang JDT II (13 Mac) di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin.

Mereka akan menentang Sarawak United FC  16 Mac di Stadium Hang Jebat dan menentang PDRM  (20 Mac) di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

“Perlawanan pertama di Stadium Likas, Kota Kinabalu menentang Negeri Sembilan pada 3 April,” ujarnya.

KCFC akan berangkat ke Semenanjung pada Ahad ini.

Suara Sarawak