KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) mengambil pendekatan yang diterapkan oleh bandar Toyota, Jepun dalam usaha menjadikan Kuching sebagai bandar pintar.
Usaha tersebut dipertingkatkan menerusi lawatan Datuk Bandar MBKS, Datuk Wee Hong Seng bersama-sama delegasinya ke bandar Toyota baru-baru ini.
Menurutnya, lawatan itu sebagai sebahagian daripada bengkel latihan Pusat Pembangunan Wilayah Negara Bersatu (UNCRD) untuk membina bandar pintar berkomuniti inklusif, berdaya tahan serta mampan.
“Lawatan memberi tumpuan kepada perkongsian idea dan pengetahuan khususnya usaha bandar Toyota dalam inisiatif penubuhan bandar pintar.
“Ia bukan saja merangkumi pengangkutan malah teknologi rumah pintar, tenaga boleh diperbaharui, kenderaan hijau, infrastruktur dan bahan api hidrogen,” katanya dalam satu kenyataan.
Tegas Wee, kesemua fokus usaha itu dilihat sejajar dengan komitmen mereka terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Lawatan turut menyaksikan rombongan berpeluang melihat sendiri sistem rumah pintar termaju di bandar tersebut.
Beliau menegaskan pendekatan inovatif bandar Toyota menjadi aspirasi penting untuk Kuching mewujudkan persekitaran bandar yang mampan dan maju dari segi teknologi.
“Selain itu, kita dapati terdapat lebih 160 stesen minyak hidrogen di seluruh Jepun,” jelasnya.
Dalam pada itu, Wee memberitahu turut menyampaikan jemputan kepada Datuk Bandar Toyota, Toshihiko Ota untuk melawat bandar raya Kuching.
Katanya, usaha itu untuk bersama-sama berkongsi ilmu dari segi konsep bandar pintar yang semestinya memberi manfaat kepada Kuching dan Toyota.