ARTIKEL

Kuching diramal tenggelam pada 2050

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

ADAKAH anda sebagai penduduk Sarawak, terutamanya penduduk Kuching dan Sibu bersedia untuk tinggal di bawah air?

Atau sudah bercita-cita untuk mencari kediaman lain yang letaknya jauh tinggi dari kedudukan yang ada sekarang.

Bukan untuk menakutkan, tetapi berdasarkan kajian, Kuching antara bandar-bandar utama di Malaysia yang berpotensi untuk “hilang” dari peta dan berada di bawah paras laut menjelang tahun 2050.

Menurut pusat penyelidikan swasta, Centre for Governance and Political Studies (Cent-GPS), pendedahan itu adalah berdasarkan kajian terbaharu Elevation Data Triple Estimates of Global Vulnerability to Sea-Level Rise and Coastal Flooding terbitan Nature Communications.

Negeri lain yang terjejas termasuklah Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Pahang dan Kelantan.

Kajian itu meramalkan pada tahun 2050, Alor Setar bakal menjadi sebuah pulau; dan jajaran kawasan Parit Buntar hingga ke Taiping tidak kelihatan.

Lebuh Raya Utara-Selatan pula diramal tenggelam; Bagan Datoh, Teluk Intan, dan Kuala Selangor lenyap.

Pelabuhan Klang bakal tenggelam serta tinggal sejarah, manakala kota Shah Alam mengecil; sementara kedudukan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terletak di sebelah pantai.

Turut lenyap, Muar di Johor dan Pekan di Pantai; manakala Kuala Terengganu mengecil kepada beberapa buah pulau.

Di Sarawak, Kuching juga mengecil dan membentuk beberapa buah pulau.

Berjuta-juta penduduk Malaysia akan terkesan dengan situasi ini dan banyak orang terpaksa berpindah.

Projek perumahan membazir, manakala tanah ladang rosak.

Di seluruh negara, malah dunia diramalkan akan berhadapan krisis kekurangan makanan.

Baca lain  Kisah tragis Jimmy dan Faridah

Kajian ini dibuat oleh Scott A. Kulp, daripada Universiti Rutgers, Amerika Syarikat menggunakan model CoastalDEM (Digital Elevation Models) iaitu pengukuran yang lebih tepat berbanding model Shuttle Radar Topography Mission (SRTM) pada kajian terdahulu.

Model CoastalDEM, menurut ciapan Cent-GPS, mengurangkan kesalahan pengukuran SRTM dan menunjukkan tanah yang terjejas dengan lebih tepat, berpunca daripada perubahan iklim.

Perkara ini mungkin ada kebenarannya, kerana iklim dunia bagai berbolak-balik ketika ini, sehingga menimbulkan cuaca pada tahap ekstrem di kawasan yang tidak sepatutnya.

Di Sarawak misalnya, keadaan cuaca tidak lagi teratur, malah hujan luar biasa berlaku sehingga menyebabkan kawasan yang tidak sepatutnya tenggelam, seperti di tanah tinggi mengalami bencana banjir.

Malah hujan yang lebat luar musim, menangkis banyak ramalan awal akan berlakunya waktu panas yang berpanjangan.

Dan keadaan lebih teruk, apabila ia turut mendatangkan kesan kepada bencana alam, termasuk ribut, taufan dan gempa bumi.

Ketika ini, seluruh negara mula melakukan pertahanan daripada serangan bencana yang sukar ditangkis ini. Malaysia memperuntukkan sebanyak RM22 bilion dalam Belanjawan 2024 untuk membiayai projek tebatan banjir di seluruh negara.

Menurut Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebanyak 33 projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) akan mendapat keutamaan tinggi dengan kos sebanyak RM11.8 bilion. Ia untuk menjamin kemaslahatan rakyat dan membendung lebih banyak kehilangan nyawa dan kerugian harta benda.

Projek-projek ini terletak di Lembangan Sungai Pahang (Pahang), Sungai Langat Fasa 2 (Selangor); Sungai Jelai, Kuala Pilah (Negeri Sembilan); Sungai Likas,Kota Kinabalu (Sabah), Kuching Fasa 2 (Sarawak); Baling Fasa 2 (Kedah) dan Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu, Sungai Kelantan Fasa 2.

Baca lain  Demi budaya ilmu

Ini adalah langkah fizikal. Kerajaan Sarawak sebenarnya sedang mengambil langkah proaktif untuk memastikan tebing-tebing pantainya tidak ditenggelami ombak.

Dan ini yang dilakukan melalui bongkah-bongkah batu besar di Santubong, Buntal dan semenanjung Sebuyau hingga Asajaya.

Kajian Scott A. Kulp juga mendapati populasi Asia turut paling banyak terdedah kepada kenaikan paras laut iaitu sebanyak 70 peratus.

Sementara itu, dalam kajian Universiti Teknologi Nanyang (NTU) Singapura yang diterbitkan pada September 2022 dalam jurnal Nature Sustainability, proses urbanisasi yang pesat menyaksikan bandarbandar pesisir pantai banyak bergantung kepada sumber air bawah tanah bagi menampung peningkatan populasinya.

Ini menyebabkan bandar-bandar terbabit mengalami malapetaka tanah mendap dan lebih berisiko terjejas akibat peningkatan paras laut disebabkan oleh perubahan iklim.

Bandar Raya Ho Chi Minh yang merupakan pusat urbanisasi dan hub perniagaan utama Vietnam sedang tenggelam pada kadar purata 16.2 milimeter setiap tahun.

Kota raya itu mengungguli senarai 48 bandar raya tepi pantai yang mendap di seluruh dunia berdasarkan kajian data satelit.

Bandar pelabuhan Chittagong di selatan Bangladesh adalah kedua paling pantas tenggelam dengan Ahmedabad di selatan India.

Manakala Jakarta yang merupakan ibu kota Indonesia dan hab komersial Myanmar, Yangon mendap lebih 20 milimeter setahun — memberi kewajaran kenapa ibu kota negara itu akan berpindah ke Pulau Kalimantan.

Baca lain  Sindiket penipuan pekerjaan

Banyak bandar raya tepi pantai yang mendap ini adalah yang pesat membangun dan memiliki permintaan tinggi kepada air dalam tanah.

Ini menjadi beban dengan struktur bangunan menyumbang kepada mendapan permukaan tanah, sebut kajian tersebut.

Kajian ini turut mendedahkan, bandar-bandar tenggelam ini bukan sepenuhnya berpunca daripada perubahan iklim tetapi saintis-saintis berpendapat, fenomena tersebut akan memburukkan lagi kesan perubahan iklim yang didorong oleh peningkatan paras laut.

Lebih satu bilion penduduk dijangka tinggal di bandar-bandar tepi pantai yang berisiko tenggelam akibat peningkatan paras laut menjelang tahun 2050, demikian menurut Panel Perubahan Iklim Antara Kerajaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (IPCC).

Menurut IPCC, paras laut di seluruh dunia dijangka meningkat sebanyak 60 sentimeter menjelang akhir abad ini walaupun pengeluaran gas rumah hijau dapat dikurangkan dengan banyak.

Justeru tindakan drastik dan tegas Sarawak untuk menjuarai ekonomi dan tenaga hijau dan memastikan kesan rumah hijau diminimumkan bukanlah sesuatu omongan kosong.

Sarawak yang lebih setengah buminya diliputi hutan hijau perlu mengambil langkah proaktif dan agresif dalam hal ini.

Kajian perlu dilakukan di seluruh perairan Sarawak untuk menghitung paras kenaikan air laut dan sungai, seterusnya mencadangkan apa yang boleh dilakukan.

Dan juga harus dikaji, kesan bencana alam, yang turut menjadikan beberapa kawasan mungkin akan tinggal kenangan.

  • Rudi Affendi Khalik merupakan penulis, wartawan dan penerbit di syarikat penerbitan tv dan kandungan media Sarawak.

NOTIS TENDER

BERITA LAIN

Zaman makin canggih, adab makin mundur

KETIKA masih kanak-kanak atau zaman sekolah sekitar tahun 90-an atau awal 2000, kita amat menghormati orang lebih tua terutama ibu bapa. Ini kerana kebanyakan kita

Sik nyaman jangan makan

DI Sarawak selain agama, budaya dan pakaian – makanan merupakan benda paling sensitif jika orang luar menghina. Bukan orang Sarawak tidak menerima kekurangan, tetapi menghina

Selamat pagi cikgu

ADA yang tertekan kerana tinggal bersama-sama pesakit mental, ada yang daif dan ada yang terpaksa bekerja, demi kelangsungan hidup. Pada suatu hari, salah seorang murid

Langkah ke bilik guru

ORANG kata: Kalau nak hidup senang, jadilah guru. Dan kalau mahu pendapatan yang baik diterima setiap hujung bulan, jadilah guru. Sebab itu, ramai ibu bapa

Selamat jalan sahabatku

SIAPAKAH yang dapat menduga bahawa dua rakan karib akan pergi untuk selamalamanya dalam tempoh dua minggu? Itulah yang berlaku kepada saya. Manusia tidak akan dapat

BERITA TERBARU

Thailand perlu pertimbang pindahkan ibu negara

BANGKOK: Thailand mungkin perlu mempertimbangkan untuk memindahkan ibu negaranya, Bangkok kerana paras air laut yang semakin meningkat, kata seorang pegawai kanan di pejabat perubahan iklim

Eksport produk kayu menurun

KUCHING: Prestasi nilai eksport produk perkayuan Sarawak merekodkan penurunan sebanyak sembilan peratus dengan sebanyak RM682 juta berbanding RM752 juta untuk tempoh sama tahun lalu. Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali

Sule jual kenderaan mewah 

PELAWAK Indonesia Sule, menjual kenderaan mewah miliknya yang terdiri daripada Ford Mustang, Porsche, Jeep Wrangler dan Mercedes Benz kerana tidak digunakan. Sule mengatakan dia menjual

Erat hubungan bersama komuniti

KEMERIAHAN sambutan Aidilfitri masih dirasai sempena Program Jiwa Madani bersama-sama Komuniti anjuran Ikmas di Dataran Ikmas, baru-baru ini. Program dihadiri tetamu jemputan khas iaitu Pengarah