Kuching FA asah penyudah

SKUAD Kuching FA perlu terus mengasah penyudah di samping memperkukuh pertahanan untuk terus kekal menguasai takhta Liga M3.

Dalam empat aksi terakhir ini menyaksikan Kuching FA hanya menang tipis.

Namun ia tetap memberi mata berharga. Jurulatih Kuching FA, Ideris Untong mengakui pasukan lawan sentiasa berusaha sedaya upaya untuk mengalahkan mereka. Malah mereka akan sentiasa berlumba-lumba untuk muncul sebagai pasukan pertama yang meleburkan rekod tanpa kalah.

Bagi meredakan tekanan tersebut, Ideris sentiasa mengarahkan anak-anak buahnya agar terus bekerja keras.

“Perjuangan masih panjang dan kami perlu terus memandang ke depan…berlatih dengan gigih di samping memperbaiki kelemahan,” ujarnya.

Malah Ideris juga menitikberatkan aspek penguasaan bola sebagai antara senjata untuk menjinakkan lawan. Kuching FA terus menaruh harapan tinggi terhadap penjaring terbanyak, Joseph Kallang Tie untuk menjaringkan gol.

Selain itu, mereka juga mengharapkan sentuhan Sufizal Ismail, Hafiz Saperi serta pemain di posisi lain untuk melakar kejutan. Di posisi pertahanan, Kuching FA kelihatan

kental dengan Hairol Mokhtar, Mazwandi Zekaria, Dzulazlan Ibrahim, Shahran Samad mahupun Ramesh Lai Ban Huat.

Benteng Kuching FA kelihatan cukup berpengalaman dengan kehadiran sebahagian besar bekas pemain Sarawak.

Mereka akan menyambung semula aksi Liga M3 pada Sabtu depan (17 Ogos). Tiada perlawanan hujung minggu ini kerana umat Islam menyambut Hari Raya Aidiladha Ahad ini.